SHAH ALAM, 4 OGOS: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bermula 15 hingga 24 Ogos ini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, selain merancakkan sektor pelancongan sukan di Selangor.
EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata selaku tuan rumah temasya dwitahunan itu, Selangor mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut bagi membantu usahawan kecil, pengusaha inap serta sektor pelancongan menjana pendapatan.
Menurutnya, walaupun Kerajaan Negeri perlu mengeluarkan dana sendiri, namun penganjuran temasya tersebut akan memberi kesan langsung kepada ekosistem ekonomi.
“SUKMA ini menjadi serampang dua mata. Kita mahu bangunkan industri sukan di samping ia dapat bantu dari segi ekonomi. Maksudnya bila ada penganjuan ini, peniaga kecil, usahawan dapat manfaat.
“Begitu juga pengusaha inap desa, hotel, penginapan dan perkhidmatan pengangkutan. Pelancongan sukan ini memang menjadi tumpuan kita. Sebab itu kita tawarkan diri jadi tuan rumah.
“Ramai tak nampak kesannya. Bila kita anjurkan kejohanan sukan, ekosistem dan masyarakat luar akan dapat manfaat,” katanya ketika menjadi tetamu Konti Sukan yang bersiaran langsung di Radio SelangorFM100.9 hari ini.
SUKMA ke-22 yang berlangsung 11 hari lagi mempertanding 468 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.
Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 14 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.
SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.







