SHAH ALAM, 4 OGOS: Seorang lelaki melalui detik cemas apabila dilaporkan sesat ketika menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan Air Terjun Kanching di Rawang semalam.
Mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas hampir lapan jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Difahamkan, mangsa berada di kawasan air terjun itu untuk melakukan aktiviti rekreasi sebelum dipercayai tersasar daripada laluan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.37 petang.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari mangsa.
"Komander operasi memaklumkan mangsa dipercayai sesat di kawasan air terjun dan gagal dihubungi sebelum operasi pencarian dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Kosmo!.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan sehingga mangsa berjaya dikesan oleh anggota bomba pada jam 10.30 malam.
"Mangsa berjaya ditemui oleh anggota bomba pada jam 10.30 malam dalam keadaan selamat," katanya.
Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan air terjun sebelum operasi ditamatkan.







