SHAH ALAM, 4 OGOS: Tiga rakyat Malaysia ditahan polis Thailand selepas 87 kilogram (kg) dadah methamphetamine kristal atau syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta ditemukan disembunyikan dalam bagasi mereka di Stesen Hat Yai, semalam.
Jurucakap polis Thailand berkata, penahanan itu dilakukan dalam operasi bersama membabitkan unit pencegahan narkotik Polis Hat Yai, pasukan polis kereta api, polis pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek menaiki kereta api dari Bangkok menuju Hat Yai sebelum dipintas dan diperiksa sebaik tiba di stesen berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati dadah methamphetamine kristal disembunyikan di dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas milik suspek.
"Anggota menemukan dadah methamphetamine kristal (syabu) disembunyikan dalam tiga beg pakaian beroda dan tiga beg galas," katanya, lapor Harian Metro.
Polis percaya dadah berkenaan bertujuan dihantar kepada satu sindiket pengedaran dadah di Malaysia.
Siasatan awal mendapati setiap suspek dijanjikan bayaran RM8,000 sebagai upah membawa dadah ke destinasi ditetapkan.
Menurut jurucakap itu, siasatan kini dipergiat bagi mengenal pasti dalang serta rakan subahat yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan itu, sama ada di Thailand mahupun di luar negara.
Ketiga-tiga suspek kini disiasat mengikut undang-undang dadah Thailand.







