ALOR SETAR, 1 DIS: Lebih 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hat Yai, Thailand, susulan banjir besar yang melanda wilayah itu sejak 22 November lalu.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat, berkata antara 1,200 hingga 1,500 kenderaan terperangkap, termasuk yang tenggelam di kawasan parkir bawah tanah hotel.
Menurutnya, usaha menunda kenderaan berdepan kesukaran kerana lori penunda dari Malaysia tidak dibenarkan memasuki kawasan terjejas.
“Lori Malaysia tidak boleh masuk ke sana. Jadi kenderaan perlu ditarik menggunakan trak penunda Thailand ke sempadan sebelum ditukar lori kita,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.
Beliau menambah, ada pemilik terpaksa menguruskan sendiri penundaan kenderaan kerana tidak semua polisi insurans menyediakan perlindungan di luar negara. Malah, sebahagian terpaksa reda meninggalkan kenderaan masing-masing berikutan kerosakan serius.
Dalam perkembangan sama, Beng Tat berkata ramai mangsa menghubungi pihaknya bagi menyatakan penghargaan terhadap bantuan pasukan penyelamat sepanjang operasi.
Katanya, 23 pasukan penyelamat sukarela Malaysia terlibat dalam misi membantu rakyat Malaysia di kawasan banjir itu.
Beliau turut berkongsi pengalaman berdepan penyebaran maklumat palsu kononnya terdapat pelancong Malaysia yang maut, menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan tugas lain untuk membuat pencarian.
“Apabila kami sampai, tiada kes kematian. Sedih apabila orang sebarkan berita begitu,” katanya sambil menjelaskan dua bot mereka terbalik akibat arus deras sepanjang operasi.
Bagaimanapun, katanya semua mangsa ditemui dalam keadaan baik dan bersemangat apabila melihat kehadiran pasukan dari Malaysia.
“Mereka gembira dan kagum dengan usaha kita,” katanya.




