ad

Malaysia aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat terjejas banjir di Hatyai

25 Nov 2025, 12:01 PM
Malaysia aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat terjejas banjir di Hatyai
Malaysia aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat terjejas banjir di Hatyai
Malaysia aktifkan Bilik Gerakan bantu rakyat terjejas banjir di Hatyai

BANGKOK, 25 NOV: Kementerian Luar Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan di Putrajaya bagi memperkukuh penyelarasan serta memastikan bantuan berterusan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai dan kawasan sekitarnya.

Kementerian itu berkata pengaktifan Bilik Gerakan berkenaan adalah susulan usaha berterusan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, yang kedua-duanya berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta terus memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia di lapangan.

“Setakat ini, lebih 6,300 rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air dan kebanyakan mereka yang masih berada di Hatyai telah dikenal pasti serta menginap di hotel bertingkat,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang memerlukan bantuan dan tidak dapat menghubungi wakil Malaysia di Thailand disaran segera menghubungi Bilik Gerakan di talian +603-8887 4570 atau dutyofficer@kln.gov.my.

“Mereka yang belum mendaftar atau menerima bantuan dinasihatkan menghubungi sama ada Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan di Bangkok tanpa berlengah,” katanya.

Sementara itu, Kabinet Thailand mengisytiharkan banjir teruk di daerah Hatyai, wilayah Songkhla, sebagai “situasi darurat” susulan keadaan yang semakin meruncing. Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengesahkan bahawa bantuan yang besar telah digerakkan di seluruh kawasan terjejas.

“Bagi lokasi yang memerlukan bantuan segera tetapi belum dapat dicapai pasukan penyelamat, jentera dan peralatan tambahan akan digerakkan bersama tenaga kerja yang diperkukuh seperti diarahkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet hari ini.

Terdahulu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan puluhan ribu penduduk terjejas, dengan 1,228 isi rumah di 16 daerah kecil telah dipindahkan dan 697,231 orang terjejas di wilayah Songkhla.