SEPANG, 26 OGOS: Hampir 4,800 daripada kira-kira 6,000 jemaah haji muassasah yang layak menerima insentif Kerajaan Selangor sudah menerima bantuan berkenaan setakat ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu mewakili kira-kira 80 peratus penerima yang berdaftar, manakala baki lebih 1,000 penerima sedang diusahakan untuk diselesaikan.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini 80 peratus daripada mereka yang layak menerima atau yang mendaftar telah kita sampaikan, ada lebih kurang 4,800. Ada 1,000 lebih sahaja lagi yang mungkin kita sedang sorting, sedang usahakan untuk bagi.
“Saya percaya sampai ke hujung Ogos ataupun sampai September nanti kita boleh selesaikan kesemua 6,000 penerima,” katanya selepas Majlis Serahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah di Dewan Komuniti Putra Perdana, di sini hari ini.
Beliau berkata maklum balas penerima terhadap program berkenaan juga sangat positif, termasuk dalam kalangan jemaah yang menerima insentif selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji.
Pada majlis itu, seramai 259 jemaah haji di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menerima Insentif Haji Muassasah berjumlah RM1,500 seorang yang disampaikan Amirudin.

Program Insentif Haji Muassasah diperkenalkan pada 2022 dengan kadar bantuan RM500 seorang sebelum dinaikkan kepada RM1,500 tahun ini.
Sejak diperkenalkan, program berkenaan telah memanfaatkan 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor, iaitu 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023 serta 6,000 jemaah masing-masing pada 2024 dan 2025.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata pentadbiran negeri menyasarkan untuk meningkatkan kadar insentif itu kepada RM2,000 seorang, bergantung kepada kedudukan kewangan dan keadaan semasa.
“Kita ada sasaran untuk RM2,000 seorang tetapi semua akan kita buat berdasarkan kemampuan kedudukan kewangan dan situasi semasa. Kalau ikut rancangannya mungkin 2027 ataupun maksimum 2028 kita akan cuba lengkapkan sampai RM2,000.
“Kita tengok kesesuaian laksanakan program ini dari masa ke semasa dan keadaan. Kita tak boleh nak janji semua sebab kalau tiba-tiba kita ada kekangan kewangan tetapi kita ada sasaran iaitu RM2,000,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri Abdul Hafiz Mat Sulaiman dan Nur Aliyah Alwani Mohd Nazam mezahirkan rasa syukur atas insentif yang diterima daripada Kerajaan Negeri.
Nur Aliyah Alwani, 31, berkata bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap jemaah haji.
“Saya bersyukur kerana dapat pergi tunaikan haji bersama suami serta ibu ayah. Sepanjang menunaikan ibadah haji semuanya dipermudahkan dan banyak dibantu Tabung Haji.
“Biarpun sedikit lewat terima insentif, ia dapat menampung dan ‘cover’ balik belanja sepanjang menunaikan haji,” katanya.

Bagi Norafizah Minhad, 48, beliau mencadangkan supaya insentif berkenaan disalurkan lebih awal sebelum jemaah berangkat menunaikan ibadah haji.
“Jika dapat sebelum, mungkin jemaah boleh gunakan untuk beli keperluan haji atau digunakan untuk makan dan minum di Mekah dan Madinah,” katanya.









