72 kilang haram beroperasi atas tanah kerajaan diroboh tahun ini

3 Ogos 2026, 3:46 AM
72 kilang haram beroperasi atas tanah kerajaan diroboh tahun ini
72 kilang haram beroperasi atas tanah kerajaan diroboh tahun ini

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak 72 kilang yang beroperasi atas tanah kerajaan telah diroboh sepanjang tahun ini dengan 53 kilang terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Daerah Tanah Petaling.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata 19 lagi kilang yang diroboh menerusi satu operasi khas terletak di kawasan kendalian Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan PDT Klang.

“Tindakan ini dilaksanakan selepas proses notis, semakan status tanah dan penyelarasan antara agensi berkaitan diselesaikan. Operasi turut mengambil kira aspek keselamatan, pemindahan aset, kawalan lalu lintas serta pengurusan sisa hasil perobohan.

“Ini juga merupakan sebahagian proses penguatkuasaan berperingkat terhadap penggunaan tanah yang tidak mematuhi syarat nyata, pencerobohan tanah kerajaan atau pengoperasian kilang tanpa kebenaran (KTK),” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing R Rajiv di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, berhubung pelaksanaan Ops Rata bagi meroboh KTK, Suee Lim mengakui ia memberi kesan kepada pemilik premis, pengusaha kecil dan pekerja terutama melibatkan sumber pendapatan.

Bagaimanapun kesan tersebut perlu dilihat secara seimbang dengan implikasi ditanggung Kerajaan Negeri serta masyarakat akibat pencerobohan serta penggunaan tanah tanpa kebenaran.

“Sepanjang tempoh tanah kerajaan digunakan secara tidak sah, Kerajaan Negeri berdepan ketirisan hasil dalam bentuk premium tanah, cukai tanah, fi pembangunan, lesen dan bayaran berkaitan yang sepatutnya dipungut.

“KTK turut menimbulkan masalah dari sudut keselamatan struktur dan kebakaran, pencemaran alam sekitar, kesesakan lalu lintas, gangguan kawasan perumahan, penggunaan utiliti tidak teratur dan pembangunan tak selaras perancangan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Ops Rata membolehkan kawasan terlibat dapat disusun dengan lebih terancang selain pembangunan semula boleh dilakukan berdasarkan kesesuaian guna tanah.

“Ini termasuk keperluan infrastruktur, akses jalan, keselamatan, alam sekitar dan potensi ekonomi kawasan. Perancangan semula PBT juga membolehkan tanah diguna untuk pembangunan lebih berdaya maju.

“Pendekatan ini berupaya mewujudkan agihan sosio-ekonomi lebih menyeluruh melalui peluang pekerjaan formal, peningkatan hasil kerajaan, penyediaan premis teratur dan pembangunan industri mematuhi undang-undang,”katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.