SHAH ALAM, 3 OGOS: Kebakaran hutan dianggarkan seluas tujuh ekar berlaku di kawasan berbukit berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.28 pagi.
Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dengan bantuan BBP Sepang digerakkan ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan hutan berbukit bersebelahan IPD Sepang dengan anggaran keluasan kebakaran tujuh ekar.
"Kerja pemadaman sedang dilakukan dan ketua balai telah dimaklumkan," katanya.
Beliau berkata 14 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan aset yang digunakan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Water Tanker.










