Sistem kesihatan Palestin berdepan krisis paling kritikal dalam sejarah

2 Ogos 2026, 2:30 AM
Sistem kesihatan Palestin berdepan krisis paling kritikal dalam sejarah

RAMALLAH, 2 OGOS: Sistem penjagaan kesihatan di Palestin menghadapi tempoh paling kritikal dalam sejarahnya, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Sabtu, lapor Agensi Berita & Maklumat Palestin (WAFA).

Kementerian itu memetik serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza, peningkatan serangan oleh tentera dan penjajah Israel di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis dan krisis kewangan teruk yang menjejaskan kerajaan Palestin (sebagai antara faktor mempengaruhi situasi itu).

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan sistem kesihatan Gaza terus beroperasi di bawah keadaan kemanusiaan dan perubatan yang genting di tengah-tengah serangan berulang ke atas hospital dan pusat kesihatan, selain kekurangan bekalan perubatan dan bahan api serta tekanan yang semakin meningkat ke atas kemudahan penjagaan kesihatan untuk terus menyediakan perkhidmatan menyelamatkan nyawa.

Kementerian itu memperbaharui rayuannya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, organisasi kemanusiaan, negara berpengaruh dan kumpulan hak asasi manusia untuk memenuhi tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan mereka dengan menekan Israel supaya membenarkan kemasukan tetap ubat-ubatan, bekalan perubatan, bahan api dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ia turut menyeru penubuhan koridor kemanusiaan yang selamat untuk memastikan pergerakan bekalan perubatan, pesakit dan individu yang cedera tanpa halangan, serta untuk perlindungan kemudahan penjagaan kesihatan dan kakitangan perubatan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menteri Kesihatan Majed Abu Ramadan berkata melindungi sistem penjagaan kesihatan Palestin bukan sahaja isu Palestin tetapi juga tanggungjawab undang-undang dan moral masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata menafikan akses pesakit kepada rawatan, menghalang penghantaran bekalan perubatan dan menyasarkan kemudahan serta kakitangan penjagaan kesihatan ialah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang memerlukan tindakan konkrit.

Kementerian itu memuji petugas perubatan, penjagaan kesihatan dan pentadbiran di Gaza atas apa yang disifatkannya sebagai daya tahan dan dedikasi luar biasa walaupun kehilangan ahli keluarga, kehilangan tempat tinggal, diserang, serta menanggung kemusnahan rumah dan kekurangan teruk keperluan asas.

Abu Ramadan berkata kakitangan penjagaan kesihatan di Gaza menunjukkan bahawa misi kemanusiaan doktor, jururawat, paramedik dan profesional kesihatan lain mengatasi penderitaan akibat peperangan, sambil menambah bahawa pengorbanan mereka amat dihargai oleh kementerian dan rakyat Palestin.

Kementerian itu juga menyatakan sokongannya kepada profesional penjagaan kesihatan Palestin yang terpaksa meninggalkan Gaza untuk keselamatan mereka atau meneruskan pendidikan dan kerjaya mereka, dengan mengatakan mereka kekal sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan negara itu dan pemergian mereka adalah disebabkan oleh keadaan luar biasa akibat perang.

Ia menambah kakitangan perubatan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis, terus menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan walaupun peningkatan serangan tentera Israel, sekatan ke atas pergerakan ambulans dan cabaran kewangan.

Kementerian itu tetap komited untuk memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan terus beroperasi, mengurus sumber yang ada dengan cekap, mengukuhkan daya tahan sistem penjagaan kesihatan dan menyelaras dengan kerajaan Palestin, rakan kongsi antarabangsa serta masyarakat tempatan untuk menggerakkan sokongan politik, kewangan dan kemanusiaan demi mengekalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan mengurangkan kesan krisis.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.