Kekasih, selamat berangkat lebih cepat 

2 Ogos 2026, 12:30 AM
Kekasih, selamat berangkat lebih cepat 

Oleh Fadhilah Ad Deen

Ilustrasi Muizzah

aku tentu tak begitu faham ketika kazuko mengaku tak mahu keanggunan ibu mereka lenyap (hanya kerana kebaikan warisan perempuan-perempuan) pada malam kematian merentap senyap-senyap.

tadi kaki pagi berjengket menganggar pagar tengah hari, seketika, cuma seketika, kausembunyi bunyi tangis seperti selama ini kausembunyi:

manis ayunan geletis dwibetis dililit kulit renda kekain dalam padahal rindu semalam gadis, rambut bergayut sampai kasut/

manis sesudu pulau gula ditenggelami selauk pedas sambal tumis bercabai kering kurang keriting/

manis ucap selamat ucap selawat mesej kesatu rutin rindu cermat diperangat setiap subuh jadi tetamu.

'yang, tiba-tiba aku dan kazuko tak lagi berkongsi angguk, kumahu kaucepat mati biar kekasihkau muflis rindu tak lepas lunas tunggakan demi tunggakan beban kerinduan selama sekarang culas dijelas.

kerana membacakau kuterlangkau segala cerca, kuharus terus mengemam kata-kata, pandulah kita ini tercuri-cari cara mati, dan kerana mahkamah di daerah pertama jatuhi hukuman bebeban perasaan sepadan kemampuan, tiada rayuan meragu keputusan, kurestui mati mandatori jadi tujuan.

(tak ada lagi bebatang ais krim potong cendol manis mengikis payah lidah berbalah atau pucat salak tak galak menyalak merah semeriah gincu sepinggan akhir rozel dari pekan selasa selesa ke bibir pemungkir getir.)

semoga besok, di antara setiap diam semalam dan dendam kaugumam, mampu aku berdiri menjabat surat daripada lebat ujian diperah awan tangan sendiri.

Ijok, Perak


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.