SERDANG, 1 OGOS: Kerajaan Selangor bercadang menyediakan peruntukan khas bagi membolehkan rakyat negeri ini mendapatkan tiket menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai usaha memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Selangor menikmati perlumbaan bertaraf dunia berkenaan.
"Oktober ini setelah sekian lama F1 akan kembali di Sepang, Selangor. Jadi insya-Allah saya sedang hubungi Kementerian Belia dan Sukan.
"Sebenarnya saya nak sediakan satu peruntukan untuk rakyat Selangor mendapatkan tiket untuk ke F1 setelah kita tunggu sekian lama," katanya ketika merasmikan Festival Art of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Pada 26 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke SIC selepas sembilan tahun apabila bakal menjadi tuan rumah F1 GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Beliau turut memaklumkan kerajaan akan mengkaji penjualan Tiket MADANI F1 GP Bahrain Gulf Air pada harga lebih rendah bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu.
GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April lalu sebelum ditangguhkan ke Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
SIC pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.







