PORT DICKSON, 27 JULAI: Kerajaan akan mengkaji penjualan Tiket MADANI Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air pada harga lebih rendah bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia selari dengan konsep Malaysia MADANI yang sentiasa menekankan kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan inklusiviti dalam setiap penganjuran acara berskala antarabangsa.
“Ada orang tanya saya, “PMX ada tak tiket MADANI?, bagilah tiket MADANI”, Insya-Allah..tapi janganlah berharap dapat duduk depan, jauh sikit. Dah bayar tiket MADANI, (tak bolehlah) nak duduk tempat yang mahal (depan),” kata beliau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar berkata penganjuran F1 bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa malah turut memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan, penerbangan, perhotelan dan perniagaan tempatan menerusi kehadiran ribuan pelawat serta pasukan perlumbaan dari seluruh dunia.
Perdana Menteri berkata walaupun banyak negara lain berminat untuk menjadi tuan rumah, Malaysia dipilih kerana dikenali sebagai sebuah negara aman, mempunyai ekonomi stabil serta menjalin hubungan diplomatik yang baik dengan pelbagai negara.
“...yang penting manfaatnya kembali kepada negara, hotel penuh, syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines dan AirAsia mendapat tempahan, sektor pelancongan berkembang dan ekonomi tempatan terus rancak," kata beliau.
Semalam dilaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun, apabila bakal menjadi tuan rumah F1 GP Bahrain dari 2 hingga 4 Okt depan.
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan dari kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.







