SHAH ALAM, 1 OGOS: Kembalinya perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix ke Sepang dijangka memberi rangsangan kepada ekonomi Selangor.
Bagaimanapun, manfaat jangka panjang bergantung kepada keupayaan negeri ini menukar penonton perlumbaan kepada pelancong berulang menerusi produk pelancongan serta kempen promosi yang lebih strategik.
Pakar ekonomi Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penganjuran perlumbaan itu akan meningkatkan perbelanjaan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam sektor penginapan, makanan, pengangkutan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan.
Bekas ketua perangkawan itu berkata limpahan ekonomi bukan sahaja dirasai sepanjang tiga hari perlumbaan, malah turut memberi manfaat kepada hotel, inap desa dan perniagaan yang menganjurkan acara sampingan apabila pengunjung tiba lebih awal atau melanjutkan tempoh percutian mereka.
“Bagi Selangor, acara ini akan meningkatkan penggunaan domestik menerusi pertambahan pelawat yang datang ke negeri ini.
“Pelbagai aktiviti sokongan turut diadakan. Pengunjung akan hadir lebih awal untuk sesi latihan dan program lain, jadi saya menjangkakan impaknya amat positif kerana prasarana sedia ada sudah lengkap,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas pengumuman bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini, sekali gus mencatat sejarah sebagai perlumbaan F1 pertama yang dipindahkan ke negara lain selepas dibatalkan di lokasi asal.
Perlumbaan itu dipindahkan ke Malaysia susulan pembatalannya di Bahrain awal musim ini akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 berikutan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.
Bangunkan pakej pelancongan menarik
Mengulas kesan perbelanjaan jangka pendek hasil penganjuran perlumbaan itu, Uzir berkata kerajaan perlu memaksimumkan kesan gandaan ekonomi dengan menggalakkan pelawat meneroka destinasi lain di Selangor dan seluruh negara.
“Matlamat jangka sederhana dan panjang ialah menjadikan pelawat kali pertama sebagai pelancong yang kembali semula. Untuk itu, kita perlu menawarkan layanan mesra, perkhidmatan berkualiti serta mempromosikan bukan sahaja acara sukan, malah budaya dan tarikan pelancongan negara,” katanya.

Beliau mencadangkan agensi kerajaan, pihak berkuasa pelancongan dan sektor swasta bekerjasama membangunkan pakej pelancongan menarik bagi menggalakkan penonton F1 mengunjungi pelbagai destinasi di Malaysia, termasuk Selangor, sebelum dan selepas menghadiri Grand Prix.
“Kita memerlukan lebih banyak kerjasama dengan sektor swasta, melibatkan syarikat besar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Kita tidak mahu manfaat ekonomi ini hanya dinikmati oleh pihak tertentu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, penganjur disaran menjadikan acara F1 sebagai pintu masuk untuk memperkenalkan destinasi pelancongan lain di luar kawasan litar kepada pengunjung.
Beliau berkata walaupun perlumbaan itu berlangsung di Selangor, manfaat ekonominya akan turut dirasai di seluruh negara apabila pelbagai sektor perniagaan menerima limpahan kedatangan pelawat.
“Perlu ada pakej pelancongan. Selain menyaksikan perlumbaan, pengunjung boleh melancong ke Borneo, Pantai Timur, pulau-pulau peranginan serta destinasi menarik di Selangor,” katanya.

Antara sektor yang dijangka menerima manfaat ialah industri perhotelan, syarikat pengurusan acara, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pengusaha makanan dan minuman, peruncit, peniaga kecil serta perniagaan berkaitan pelancongan.
Menurut Uzir, kepulangan semula F1 ke Sepang juga bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia, memandangkan acara sukan bertaraf antarabangsa mampu menarik kehadiran peminat dari seluruh dunia serta menggalakkan mereka tinggal lebih lama di negara ini.







