KAPAR, 1 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) akan mengemas kini maklumat dua beranak pesakit barah di Kampung Sementa bagi membolehkan penilaian semula bantuan dibuat mengikut keperluan semasa.
Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah Klang Zainudin Johari berkata hasil semakan mendapati Noralizah Nasir, 58, yang menghidap barah payu dara menerima bantuan zakat bulanan RM400 sejak Februari lalu, selain bantuan khas Aidilfitri RM350 secara sekali bayar.
Bagaimanapun, katanya, ketika permohonan dibuat pada Februari lalu, maklumat mengenai ibunya, Rahimah Samsuri, 79, yang pernah menjalani pembedahan barah usus pada 2024 tidak dimasukkan dalam borang permohonan.
Sehubungan itu, bantuan bagi Rahimah tidak dapat dinilai kerana maklumat berkenaan tidak disertakan.
“Hasil semakan kami mendapati maklumat mengenai ibu kepada pemohon tidak dimasukkan dalam permohonan terdahulu.
"Oleh itu, kami akan mengemas kini profil keluarga ini supaya kedua-dua mereka dapat disantuni mengikut keperluan semasa dan bantuan yang disalurkan lebih menyeluruh,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, hasil semakan itu membolehkan Zakat Selangor mempertimbangkan beberapa bentuk bantuan tambahan, termasuk pembiayaan kos rawatan kemoterapi, perbelanjaan pengangkutan ke hospital serta bantuan sewa rumah bagi memastikan Noralizah dapat meneruskan rawatan.

Menurutnya, Rahimah pula disaran menjalani pemeriksaan semula di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi membolehkan doktor mengesahkan keperluan rawatan susulan, termasuk penggunaan kerusi roda, bekalan beg stoma, susu khas dan keperluan perubatan lain.
“Zakat Selangor akan mempertimbangkan bantuan berkaitan kos rawatan, pengangkutan ke hospital berdasarkan penilaian serta pengesahan doktor menunjukkan keperluan stoma bag, kerusi roda dan susu yang disyorkan.
"Matlamat kami adalah memastikan rawatan mereka dapat diteruskan tanpa beban kewangan yang melampau,” katanya.
Menurut Zainudin, bagi memastikan golongan asnaf fakir, miskin dan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan kritikal tidak tercicir, Zakat Selangor menempatkan penolong amil di setiap masjid di seluruh Selangor bagi memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan bantuan zakat.
“Kami menggalakkan orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui ada individu atau keluarga yang memerlukan bantuan. Penolong Amil di setiap masjid boleh menjadi saluran awal untuk menyampaikan maklumat kepada Zakat Selangor.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat kerana sumbangan mereka membolehkan bantuan seperti ini disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Media Selangor melaporkan kisah Noralizah yang bukan sahaja berjuang melawan barah payu dara, malah menjaga ibunya yang menghidap barah usus dalam keadaan mereka berdepan kekangan kewangan dan kos rawatan yang tinggi.
Susulan laporan itu, Zakat Selangor Daerah Klang menjalankan semakan terhadap kes berkenaan bagi menilai keperluan bantuan keluarga tersebut.







