SHAH ALAM, 2 OGOS: Acara bola sepak dan kriket akan dipertandingkan lebih awal, beberapa hari sebelum majlis perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 pada 15 Ogos ini.
Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata kedua-dua acara itu akan membuka saingan pada 11 Ogos kerana memerlukan tempoh pertandingan yang lebih panjang bagi melengkapkan keseluruhan jadual.
Menurut beliau, pertandingan bola sepak lelaki akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Stadium Bandar Baru Salak Tinggi.
"Manakala bola sepak wanita diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
"Sementara itu, kriket yang juga bermula 11 Ogos, akan bermain di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Bayu Emas, Klang.
"Perlawanan perlu diadakan lebih awal sebab selepas satu pertandingan, mereka perlu direhatkan sehari, digilirkan dengan negeri lain pula," katanya kepada Media Selangor.

Mengulas persiapan Selangor selaku tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu, Mohamad Nizam berkata semua sukarelawan akan dihimpunkan di Sepang pada 9 Ogos ini sempena siri terakhir Larian Obor SUKMA.
"Pendaftaran mereka akan dibuat di situ. Sukarelawan akan diberi taklimat lanjut selain pembahagian tugas dan skop kerja turut dibuat," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan SUKMA Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata semua sukarelawan akan mengikuti kursus pembentukan sahsiah serta latihan gerak kerja bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya itu.
Menurutnya, latihan asas itu bertujuan membentuk jati diri sukarelawan di samping memperkukuh kemahiran kerja berpasukan.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, membabitkan 469 acara daripada 37 jenis sukan di sembilan daerah dengan 52 venue pertandingan.
Temasya itu akan disusuli Para SUKMA 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 14 September, melibatkan 316 acara daripada 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.
Semua kontinjen negeri akan mengambil bahagian, manakala Brunei Darussalam turut mengesahkan penyertaan sebagai kontinjen jemputan, menjadikan keseluruhan 15 kontinjen bertanding.








