Selangor FC setuju tamatkan kontrak Kevin Deeromram

16 Dis 2025, 10:41 AM
Selangor FC setuju tamatkan kontrak Kevin Deeromram

SHAH ALAM, 16 DIS: Selangor FC melepaskan tonggak pertahanan yang juga pemain kebangsaan Thailand, Kevin Deeromram, selepas separuh musim bersama Gergasi Merah itu.

Selangor FC dalam kenyataan, memaklumkan Deeromram mencapai persetujuan bersama kelab untuk menamatkan kontraknya.

"Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kevin atas segala komitmen serta sumbangan yang diberikan sepanjang tempoh bersama pasukan," kata Selangor FC.

Tonggak berdarah campuran Sweden-Thailand itu sudah merekodkan 18 penampilan keseluruhan bersama skuad kendalian Christophe Gamel dalam semua pertandingan domestik, termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sambil berjaya menjaringkan empat gol.

Selangor yang juga naib juara Liga Super musim lalu berada di kedudukan keempat liga musim ini selepas mengharungi 10 perlawanan dengan mengumpul 19 mata.

Skuad Gergasi Merah berdepan detik mengecewakan dalam Piala FA apabila gagal mengulangi pencapaian layak ke final seperti musim lalu selepas tersingkir di tangan Sabah pada pusingan separuh akhir.

Selain itu, mereka juga berdepan prestasi buruk dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam Kumpulan G, sekali gus tersingkir awal selepas menghuni kedudukan tercorot kumpulan.