SHAH ALAM, 1 OGOS: Pembangunan belia dan pemerkasaan usahawan dalam ekonomi kreatif antara yang perlu diberi perhatian dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), yang dijadual dibentangkan Ogos depan.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata ekonomi kreatif bukan hanya membuka peluang perniagaan baharu, malah berpotensi menjana lebih banyak peluang pekerjaan khususnya buat golongan belia.
"Menjelang pembentangan RS-2 saya mengharapkan pihak Kerajaan Negeri akan memberikan penumpuan khusus kepada program pembangunan ataupun pemberdayaan anak muda belia.
"Kita mengupayakan lagi kelompok usahawan kita terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam segmen ekonomi kreatif ini," katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.
Beliau menjelaskan ekonomi kreatif kini muncul sebagai antara sektor yang berkembang pesat dan mampu menyokong penyertaan anak muda dalam ekonomi sampingan.
Menurut Mohd Najwan, landskap keusahawanan turut berubah apabila semakin ramai belia memilih untuk mengusahakan perniagaan secara lebih anjal berbanding model konvensional.
"Sekarang ini kita nampak anak muda lebih mandiri. Kalau kita tengok tidak semua anak muda yang berminat dengan konsep perniagaan seperti dahulu, perlu ada kedai dan lesen.
"Mereka lebih fleksibel menggunakan sosial media sebagai platform," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat memperluas sokongan kepada kelompok usahawan baharu supaya mereka dapat mengembangkan potensi dan keupayaan perniagaan masing-masing.
Pada Julai 2022, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari membentangkan RS-1, pelan pembangunan komprehensif pertama negeri bagi tempoh lima tahun bernilai RM212.44 bilion.
Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat pada 2025, dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM460.1 bilion, meningkat sebanyak RM28 bilion berbanging tahun sebelumnya.








