EXCO: Hubungan erat ibu bapa, anak benteng cegah gejala sosial

31 Jul 2026, 12:03 PM
EXCO: Hubungan erat ibu bapa, anak benteng cegah gejala sosial
EXCO: Hubungan erat ibu bapa, anak benteng cegah gejala sosial
EXCO: Hubungan erat ibu bapa, anak benteng cegah gejala sosial

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ibu bapa disaran mengekalkan komunikasi dan hubungan erat bersama anak walaupun mereka sudah melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan kebajikan, perkembangan serta pergaulan mereka sentiasa dipantau.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata meskipun anak berusia 18 tahun ke atas dianggap sebagai individu dewasa, hubungan erat bersama keluarga tetap penting sebagai tempat rujukan apabila berdepan sebarang masalah.

Beliau berkata komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak dapat membantu membina kepercayaan selain menjadi langkah awal dalam mencegah pelbagai isu sosial termasuk kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi.

“Selepas umur 18 tahun sudah pasti anak dikira sebagai dewasa, dia perlu ada kawalan kendiri tapi hubungan kekeluargaan itu perlu lebih utuh.

“Sebab yang penting adalah komunikasi dan bagaimana ibu bapa tetap menerima anak itu dalam apa juga keadaan bermasalah supaya mereka ada tempat untuk merujuk,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap pada Program Libat Urus Taska dan Pusat Jagaan Tidak Berdaftar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau mengulas beberapa kes melibatkan kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi yang membabitkan golongan remaja, termasuk pelajar IPT yang memerlukan perhatian serta pendekatan pencegahan secara berterusan.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan sebagai pendengar yang baik serta mewujudkan ruang selamat untuk anak berkongsi permasalahan tanpa rasa takut atau tertekan.

Menurutnya, Selangor turut melaksanakan pelbagai usaha pencegahan menerusi kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Program Advokasi Keselamatan Kanak-Kanak atau Lindung Kasih.

“Program itu memberi pendedahan kepada Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah berkaitan keselamatan diri, buli dan keselamatan seksual.

“Program ini kita mengumpulkan PRS ataupun pembimbing gerakan sebaya di sekolah dan terkini kita bekerjasama dengan sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan juga pusat tahfiz di bawah PITAS (Pusat Institusi Tahfiz Al Quran Negeri Selangor),” katanya.

Beliau berkata, kerjasama turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kaunselor JKM bagi memberi pendidikan dan advokasi kepada golongan muda.

“Pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan secara berterusan, termasuk pendidikan, kawalan penggunaan bahan dalam talian serta perlindungan kepada ibu remaja dan bayi sekiranya berlaku kehamilan luar nikah,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.