SHAH ALAM, 18 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited memperkukuh kesiapsiagaan sektor komunikasi, pos dan kurier dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
SKMM memaklumkan, persediaan itu dilakukan menerusi Program Peluncuran Kesiapsiagaan dan pentauliahan Pasukan Emergency and Disaster Response Team (EDRT) SKMM sebagai sebahagian daripada Civil Defence Auxiliary (CDA) di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Majlis peluncuran kesiapsiagaan itu disempurnakan Pengarah Urusan SKMM, Abdul Karim Fakir Ali yang turut menghimpunkan agensi terlibat dalam pengurusan bencana bagi menyelaras pelan tindakan yang lebih bersepadu.
Agensi itu telah membangunkan Rangka Kerja Pengurusan Bencana merangkumi tiga fasa utama iaitu kesiapsiagaan sebelum bencana, tindak balas ketika bencana dan pemulihan pasca bencana.
"Rangka kerja ini telah diedarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri pada 13 Oktober lalu untuk tujuan pelaksanaan kesiapsiagaan," menurutnya menerusi kenyataan.
SKMM menegaskan, melalui kerjasama rapat dengan agensi utama serta pemain industri, mereka komited untuk memastikan komunikasi kritikal lebih berdaya tahan dengan gangguan minimum.
"Ia agar operasi menyelamat dapat berjalan lancar serta penyaluran bantuan dan maklumat kepada rakyat dapat disampaikan dengan lebih baik dan berkesan," ujarnya.
Berdasarkan data SKMM, sepanjang MTL 2024/2025 597 stesen pemancar terjejas dengan 54.1% daripadanya di Wilayah Timur.
"Selain itu, 147 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) turut terkesan, melibatkan Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah dan beberapa negeri lain," katanya.