SHAH ALAM, 31 JULAI: Kompleks sukan pelbagai guna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong bakal menjadi lokasi pertandingan acara sepak takraw sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Datuk Bandar Subang Jaya, Dato' Amirul Azizan Abd Rahim berkata Arena MBSJ Puchong bernilai RM22.2 juta itu bukan sahaja menjadi antara venue temasya berkenaan, malah memperluas akses penduduk kepada kemudahan sukan dan rekreasi moden.
Menurut beliau, fasiliti yang dibina di atas tanah seluas 1.67 hektar di Jalan Persiaran Indera, Pusat Bandar Puchong itu turut direka bagi menyokong pelbagai program kemasyarakatan.
"Selain menjadi lokasi aktiviti sukan dan rekreasi, kompleks ini juga boleh dimanfaatkan untuk penganjuran program komuniti," katanya ketika merasmikan Arena MBSJ Puchong seperti dilapor StarMetro.
Beliau berkata pembangunan kompleks itu akan diteruskan menerusi fasa kedua yang melibatkan pembinaan kolam renang.
Katanya, kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan selepas penyiasatan tanah selesai dijalankan.
"Kolam renang itu akan dibina bersebelahan kompleks sukan ini dan penyiasatan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembinaan dimulakan," katanya.
Arena MBSJ Puchong dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gelanggang pelbagai guna, trek joging, taman permainan kanak-kanak serta ruang istirahat.
Orang ramai dijangka boleh mula menggunakan dan menempah kemudahan di kompleks itu selepas tamat temasya SUKMA yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Salimi Che Adzmi @ Azmi, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman.
Amirul Azizan turut memaklumkan beliau akan memulakan tugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) mulai 3 Ogos, manakala penyandang jawatan itu, Dato’ Mohd Yazid Sairi dilantik sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya.



