Trump umum persetujuan pelucutan senjata Hamas, Israel berundur dari Gaza

31 Jul 2026, 12:11 AM
Trump umum persetujuan pelucutan senjata Hamas, Israel berundur dari Gaza

WASHINGTON, 31 JULAI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata persetujuan telah dicapai bagi “pelucutan senjata sepenuhnya” Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza, dengan tentera Israel akan berundur seiring kemajuan proses berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Trump berkata persetujuan yang disifatkannya sebagai langkah “bersejarah” ke arah keamanan dan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berfasa.

“Persetujuan itu akan dilaksanakan menerusi beberapa fasa yang dirangka dengan teliti. Apabila proses pelucutan senjata selesai, tentera Israel akan berundur, manakala Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu untuk mengambil alih tanggungjawab memastikan Gaza selamat bagi penduduknya dan negara-negara jiran,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial Truth Social.

Beliau berkata persetujuan itu merupakan “pencapaian penting” dalam pelaksanaan pelan 20 perkara yang dikemukakannya bagi Gaza, sambil menambah bahawa wilayah itu akhirnya akan ditadbir oleh “kerajaan Palestin baharu yang akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Keamanan bagi membantu rakyat Palestin.”

Trump turut merakamkan penghargaan kepada Mesir, Qatar dan Türkiye atas usaha pengantaraan mereka yang, bersama usaha pasukan pentadbirannya, menyumbang kepada “kejayaan bersejarah” itu.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.