ad

Dua tahun genosid, masih adakah sinar harapan?

7 Okt 2025, 12:34 AM
Dua tahun genosid, masih adakah sinar harapan?
Dua tahun genosid, masih adakah sinar harapan?
Dua tahun genosid, masih adakah sinar harapan?
Dua tahun genosid, masih adakah sinar harapan?
Dua tahun genosid, masih adakah sinar harapan?

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Dua tahun sejak Israel memulakan serangannya ke atas Gaza, kumpulan hak asasi manusia dan pakar undang-undang antarabangsa menyifatkan kempen ketenteraan itu sebagai genosid terhadap rakyat Palestin dengan wilayah berkenaan kini musnah, puluhan ribu terkorban, seluruh kawasan kejiranan ranap dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing hari demi hari.

Sejak pengeboman bermula pada 7 Okt 2023, rejim Israel telah melancarkan serangan udara tanpa henti, pencerobohan darat dan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza.

Walaupun beberapa kerajaan Barat terus menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri, protes global, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pertubuhan hak asasi manusia utama, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch telah menuduh Israel melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kini sedang menyiasat tuduhan genosid dalam kes yang difailkan oleh Afrika Selatan pada awal 2024.

Walaupun semakin banyak bukti dan gesaan untuk gencatan senjata, usaha diplomatik setakat ini gagal menghentikan pertumpahan darah atau memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan secara berterusan.

Orang ramai mengadakan protes bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza dan mengecam tindakan tentera Israel memintas beberapa kapal dalam Global Sumud Flotilla yang berusaha untuk sampai ke Gaza dan memecahkan sekatan laut Israel, di Berlin, Jerman, pada 2 Oktober 2025. Foto REUTERS

Menurut Anadolu Ajansi, Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza, yang didiami hampir 2.4 juta orang, selama hampir 18 tahun dan mengetatkan lagi kepungan pada Mac apabila ia menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan, menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam kebuluran.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh lebih 66,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut agensi berita Turkiye itu.

Penentangan berpanjangan terhadap kenegaraan Palestin

Pakar geopolitik terkemuka Prof James Chin dari Universiti Tasmania berkata konflik yang berterusan itu menekankan penentangan yang telah lama wujud terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, dengan Israel secara konsisten menolak sebarang rancangan yang boleh membawa kepada penyelesaian dua negara yang berdaya maju dan terus bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan status quo.

"Israel, terutamanya di bawah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah menjelaskan bahawa ia tidak percaya sebuah negara Palestin akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Netanyahu secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak menjangkakan sebuah negara Palestin akan ditubuhkan sepanjang hayatnya manakala AS, terutamanya semasa pentadbiran Donald Trump dilihat mengejar keamanan di Timur Tengah lebih kepada kepentingan politik berbanding hasil yang mampan.

Penduduk Palestin berkumpul bagi menerima bantuan makanan daripada dapur amal di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada 21 Ogos 2025. REUTERS/Hatem Khaled

"Pendekatan Trump sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pertimbangan domestik. Inisiatif keamanannya dilihat sebagai cara untuk menonjolkan kuasa Amerika dan berpotensi meletakkan dirinya sebagai calon Hadiah Keamanan Nobel," katanya.

Penyelesaian dua negara dan pengiktirafan global

Chin berkata walaupun penyelesaian dua negara terus dibincangkan dalam kalangan diplomat, hanya Israel dan Amerika Syarikat yang mempunyai pengaruh untuk menjadikannya satu kenyataan.

"Malangnya, tiada pihak yang menunjukkan kesediaan untuk mengambil langkah perlu. Bagi rakyat Palestin, kemajuan bermakna masih di luar jangkauan selagi kepimpinan Israel sekarang kekal berkuasa dan AS mengekalkan pendiriannya," katanya.

Sementara itu, pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata isu kenegaraan Palestin kembali mendapat perhatian antarabangsa berikutan seruan global yang diperbaharui untuk melaksanakan penyelesaian dua negara.

Sehingga September 2025, sebanyak 156 negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, menandakan sentimen antarabangsa yang memihak kepada kedaulatan Palestin, walaupun kuasa besar Barat, termasuk Amerika Syarikat dan Israel masih enggan memberi pengiktirafan rasmi.

Bot dalam Flotila Sumud Global yang menuju ke Gaza, Palestin bagi memecahkan sekatan laut Israel ke atas wilayah itu, belayar dari pulau kecil Koufonisi, Greece pada 26 September 2025. Foto REUTERS REUTERS

Azmi berkata pengiktirafan Palestin baru-baru ini oleh beberapa negara berpengaruh, termasuk Perancis, Kanada, Australia dan United Kingdom, menandakan anjakan diplomatik penting memandangkan negara-negara itu sebelum ini dianggap sekutu rapat Israel.

"Pengiktirafan ini amat penting. Ia memberikan Palestin kedudukan diplomatik yang lebih kukuh dan menandakan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap keengganan Israel mengiktiraf negara Palestin," katanya.

Flotila dan pelan damai Trump

Azmi berkata tindakan tentera rejim Israel memintas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini telah menyemarakkan semula gelombang protes global, dengan demonstrasi di seluruh Amerika Utara dan Eropah menunjukkan solidariti awam yang semakin meningkat terhadap perjuangan Palestin.

Beliau berkata pelan damai Gaza 20 perkara yang diumumkan Trump telah mengundang kritikan kerana gagal memasukkan elemen penting seperti jaminan kedaulatan Palestin atau pengunduran tentera Israel dari Gaza.

"Ia menyerupai satu bentuk "pemerasan politik", menuntut Hamas menyerah diri tanpa komitmen teguh terhadap penubuhan negara Palestin yang berdaulat," katanya.

Di sebalik kritikan itu, Anadolu melaporkan bahawa Hamas telah mengeluarkan respons rasminya terhadap pelan Trump pada Jumaat lepas dengan bersetuju untuk membebaskan semua tawanan Israel, menyerahkan mayat mangsa yang terkorban, dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin yang bebas.

Ketika dunia menandakan dua tahun sejak konflik bermula, Gaza kekal sebagai simbol penderitaan manusia dan kebuntuan politik, satu peringatan jelas bahawa keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin masih sukar dicapai seperti dahulu.