SHAH ALAM, 30 JULAI: Tiga keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh akan menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM1,000 sebulan selama enam bulan bagi meringankan beban sepanjang tempoh pemulihan kawasan terbabit.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Pua Pei Ling berkata bantuan itu susulan kelulusan peruntukan khas Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di lokasi kejadian yang melibatkan enam buah rumah.
"Selain menanggung kos pembaikan lereng cerun, Kerajaan Negeri juga bersetuju memberi sumbangan bayaran sewa kepada tiga keluarga terjejas. Mereka akan menerima RM1,000 sebulan bagi setiap keluarga sepanjang enam bulan," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, kerja pembaikan cerun dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan, namun tarikh pelaksanaannya masih menunggu penyelarasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), termasuk proses tender dan kerja di tapak.
Jelasnya, tempoh bantuan sewa itu ditetapkan berdasarkan jangkaan siap kerja pembaikan cerun, manakala sebarang keperluan lanjutan akan dipertimbangkan sekiranya projek mengambil masa lebih lama daripada yang dijadualkan.
"Tindakan pantas Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan khas bagi mempercepatkan pembaikan cerun mencerminkan komitmen negeri dalam mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat.
"Kita menjangkakan kerja pembaikan cerun dapat disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina supaya penduduk yang terlibat dapat pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut perayaan," katanya.
Tambahnya, tiga keluarga terjejas secara langsung akibat kejadian itu, termasuk sebuah keluarga yang mempunyai tujuh ahli dengan seorang bayi berusia tujuh bulan, selain melibatkan beberapa warga emas.
"Masih terdapat dua keluarga yang belum berpindah walaupun laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menunjukkan pergerakan tanah di kawasan berkenaan masih aktif, terutama ketika musim hujan.
"Kerajaan Negeri akan mempercepatkan semua kerja pembaikan cerun dan pada masa sama saya akan terus memujuk keluarga yang masih berada di kawasan berisiko supaya berpindah buat sementara waktu demi keselamatan mereka," katanya.
Kejadian tanah runtuh pada 16 Julai lalu menyebabkan beberapa rumah mengalami kerosakan di bahagian dapur.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian dan mendapati berlaku runtuhan tanah berkeluasan kira-kira 15 x 30 kaki persegi yang menjejaskan bahagian dapur dua rumah.











