Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley City palsu

30 Jul 2026, 1:32 AM
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley City palsu

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Polis mengesahkan ancaman bom di Centrepoint South Tower, Mid Valley City di sini malam tadi adalah palsu dan tiada sebarang bahan letupan ditemukan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pengurus pengawal keselamatan bangunan terbabit pada 8.17 malam.

Beliau berkata pengadu memaklumkan pihaknya menerima satu e-mel yang mendakwa terdapat paip bom di lokasi itu, yang membawa kepada pengosongan bangunan secara serta-merta sebagai langkah keselamatan.

"Bertindak atas maklumat tersebut, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi ancaman pada 10.30 malam.

"Hasil pemeriksaan keseluruhan mendapati tiada sebarang bahan letupan, objek mencurigakan atau peralatan berkaitan bom ditemukan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hoo berkata siasatan awal mendapati e-mel ancaman palsu itu dipercayai dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata bagi menimbulkan ketakutan dan gangguan keselamatan awam.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan sembunyi nama.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.