Ancaman bom palsu di KLIA, lelaki dakwa mahu elak beg diganggu rakan

4 Dis 2025, 8:34 AM
Ancaman bom palsu di KLIA, lelaki dakwa mahu elak beg diganggu rakan
Ancaman bom palsu di KLIA, lelaki dakwa mahu elak beg diganggu rakan

SEPANG, 4 DIS: Lelaki yang disyaki membuat ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kelmarin dipercayai bertindak demikian semata-mata bagi mengelakkan beg miliknya diganggu rakan.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Azman Shariat berkata kejadian tersebut tiada kaitan dengan motif jenayah, sebaliknya hanya berpunca daripada catatan ditinggalkan suspek pada bagasi berkenaan.

“Suspek direman tiga hari bermula semalam sehingga esok namun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Siasatan mendapati tiada motif jenayah berhubung kejadian. Suspek dipercayai menulis catatan itu supaya beg tidak diganggu rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan insiden ancaman bom palsu dikesan pada 5.32 petang kelmarin membabitkan penerbangan domestik di KLIA Terminal 1, beberapa minit sebelum pesawat dijadual berlepas.

Malaysia Airports memaklumkan, penemuan catatan mencurigakan itu memaksa pasukan keselamatan mengaktifkan protokol kecemasan dan meningkatkan kawalan di lokasi berkenaan.

Pesawat kemudiannya dibenarkan berlepas pada 7.19 malam selepas pihak Keselamatan Penerbangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan unit pemusnah bom melakukan penilaian menyeluruh.

Pemeriksaan berakhir pada 8.58 malam selepas pihak berkuasa mengesahkan kawasan berkenaan selamat dan ancaman diterima adalah palsu.