SHAH ALAM, 29 JULAI: Sepasang suami isteri bersama anak lelaki berusia tiga tahun maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit nahas dengan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kejadian pada 7.56 pagi itu membabitkan mangsa lelaki berusia 34 tahun yang juga mekanik, isterinya berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berusia tiga tahun.
Jelas beliau, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki tempatan berumur 42 tahun yang memandu Perodua Aruz positif dadah jenis methamphetamine.
”Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika tiga beranak itu sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Batu 18, Hulu Langat, menuju ke Nanding.
"Setiba di lokasi, sebuah Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan motosikal mangsa sebelum berlaku pertembungan.
"Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan.
Naazron berkata pemandu Perodua Aruz terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan kes dadah. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang pada jam 9 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000.
Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid, melalui talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.







