KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A Divisyen 1 bersama tuan rumah Indonesia bagi menghadapi saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang dijadual berlangsung dari 24 Sept hingga 3 Okt ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan skuad negara turut akan berdepan India dan Singapura dalam aksi peringkat kumpulan.
"Butiran lanjut mengenai format pertandingan serta tarikh-tarikh perlawanan akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat pengesahan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kumpulan B Divisyen 1 dianggotai Vietnam, Pakistan, Thailand dan Filipina.
Piala ASEAN FIFA 2026 merupakan edisi baharu kejohanan yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus dijangka membawa dimensi baharu kepada persaingan dan nilai komersial bola sepak di rantau ini.
Setiap pasukan akan mengharungi antara dua hingga empat perlawanan, manakala juara Divisyen 1 akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD1 juta (RM4.09 juta).







