SHAH ALAM, 6 OKT: Harimau Malaya menutup kempen sulung Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kejayaan membanggakan apabila meraih tempat ketiga selain dianggarkan membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM1.07 juta.
Anak buah Tan Cheng Hoe menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadion Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, semalam.
Fergus Tierney muncul wira skuad negara selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62 menerusi aksi individu menarik di hadapan kotak penalti.
Beliau kemudian melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang, sekali gus memastikan Harimau Malaya menamatkan kejohanan di atas podium.
Kemenangan itu turut menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk menewaskan Vietnam, sekali gus melengkapkan kempen positif skuad negara di Jakarta.
Lebih manis, Harimau Malaya menutup saingan dengan rekod pertahanan sempurna apabila tidak dibolosi dalam empat perlawanan berturut-turut sepanjang kejohanan, lapor Berita Harian.
Skuad negara memulakan kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum terikat tanpa jaringan ketika berdepan Indonesia.
Malaysia kemudian membelasah Singapura 6-0 sebelum menundukkan Vietnam 1-0, sekali gus merekodkan keseluruhan 10 gol tanpa bolos dalam empat perlawanan.
Pencapaian itu bukan sahaja menyaksikan Harimau Malaya menamatkan kempen sulung di tempat ketiga, malah menyerlahkan ketahanan benteng skuad negara sepanjang kejohanan.
Selain pingat gangsa, Harimau Malaya dianggarkan menerima hadiah wang antara AS$225,000 hingga AS$255,000, bersamaan kira-kira RM945,000 hingga RM1.07 juta, sebagai ganjaran selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga.








