JPJ siasat pemilik kenderaan sewa kepada warga asing

29 Jul 2026, 8:50 AM
JPJ siasat pemilik kenderaan sewa kepada warga asing

SHAH ALAM, 29 JULAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyiasat kegiatan pemilik tempatan yang menjadikan penyewaan kenderaan kepada warga asing sebagai sumber pendapatan.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata siasatan dijalankan selepas sebahagian kenderaan yang ditahan menerusi Ops Pemandu Warga Asing (Ops PEWA) didapati didaftarkan atas nama rakyat tempatan, namun digunakan warga asing, lapor Kosmo!.

Beliau berkata kenderaan terbabit dipercayai disewa bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menjual roti, buah-buahan serta mengutip besi buruk di kawasan perumahan.

"Kadar sewaan bergantung kepada rundingan dengan pemilik. Ada yang mengenakan caj sehingga RM100 sehari.

"Setakat ini kita dapati ramai pemilik tempatan yang berbeza-beza. Namun, kemungkinan wujud kegiatan sindiket memang ada. Kita juga menahan tiga kenderaan yang dimiliki pemilik tempatan sama," katanya pada sidang media selepas Ops PEWA di sekitar Selayang, hari ini.

Ahmad Kamarunzaman berkata tindakan bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu atau penunggang warga asing, malah pemilik kenderaan turut boleh dikenakan tindakan jika didapati membenarkan kenderaan mereka digunakan secara menyalahi undang-undang.

"Pemilik dan penunggang akan dikenakan tindakan. Pemilik tidak boleh melepaskan tanggungjawab hanya kerana kenderaan itu digunakan oleh orang lain," katanya.

Dalam operasi bermula jam 6.30 pagi itu, JPJ memeriksa 126 kenderaan dengan 34 daripadanya dikenakan tindakan sitaan.

Kenderaan yang disita membabitkan 11 motosikal roda tiga, 12 motosikal, enam motokar dan lima kenderaan barangan.

Sebanyak 256 kesalahan dikesan, termasuk memandu tanpa lesen, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, salah guna lesen kenderaan motor serta pelbagai kesalahan teknikal.

Operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu turut menyaksikan sebanyak 420 notis dikeluarkan. Operasi berkenaan disertai 55 pegawai dan anggota JPJ serta 25 anggota pihak berkuasa tempatan.

"Sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya tidak akan diberi sebarang kelonggaran atau layanan istimewa. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pemilik kenderaan yang melanggar undang-undang.

"Tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan kenderaan, pengeluaran notis dan pendakwaan akan terus dilaksanakan secara konsisten serta menyeluruh," katanya.

Beliau berkata semua kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sehingga proses pendakwaan di mahkamah selesai tanpa sebarang tawaran kompaun.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.