SHAH ALAM, 12 OKT: Hanya ejen persendirian dan wakil syarikat yang berdaftar serta mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibenarkan menjalankan urusan bagi pihak pelanggan di seluruh negara mulai Januari 2027.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ketetapan itu bertujuan memperkukuh kawal selia aktiviti pengantara supaya lebih teratur, telus dan berintegriti, selain mengurangkan risiko penipuan terhadap pelanggan.
Menurutnya, pendaftaran perantara akan dibuka secara percuma bermula 1 November ini menerusi platform dalam talian JPJ.
"Setiap permohonan yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi (ID) digital yang mengandungi nombor siri dengan tempoh sah laku selama dua tahun.
"Bagi tempoh November hingga Disember ini, kita masih membenarkan mereka yang belum mendaftar berurusan di kaunter. Namun, menjelang Januari depan, wakil syarikat atau ejen persendirian yang gagal mempamerkan ID digital yang sah sama sekali tidak akan dibenarkan menjalankan urus niaga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter JPJ Perlis di Arau, hari ini seperti dilapor Harian Metro.
Aedy Fadly menjelaskan, langkah itu diambil susulan aduan penipuan membabitkan pengantara yang mengambil wang pelanggan, termasuk kes penipuan pertukaran hak milik kenderaan di Perak baru-baru ini.
Katanya, penggunaan ID digital membolehkan JPJ merekod dan menjejaki urus niaga yang dikendalikan pengantara, sekali gus memudahkan pengesanan sekiranya berlaku salah laku.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kelulusan pendaftaran tidak bermaksud JPJ memperakui atau menjamin perkhidmatan yang ditawarkan pihak berkenaan.
"JPJ tidak mempunyai sebarang ikatan kerjasama perniagaan dengan mereka dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian, penipuan, caj tambahan atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian antara pelanggan dengan pihak perantara.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengutamakan saluran rasmi jabatan seperti aplikasi MyJPJ, portal awam dan kaunter bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini," katanya.







