MPHS meterai perjanjian perkasa pendigitalan sistem penguatkuasaan

29 Jul 2026, 7:49 AM
MPHS meterai perjanjian perkasa pendigitalan sistem penguatkuasaan
MPHS meterai perjanjian perkasa pendigitalan sistem penguatkuasaan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memperkukuh agenda pendigitalannya menerusi pemeteraian Perjanjian Harta Intelek dan Perjanjian Pelesenan bagi Sistem Penguatkuasaan Bersepadu (SPKB).

Yang Dipertuanya, Julaihah Jamaludin berkata pemeteraian perjanjian bersama Elix Solution Sdn Bhd itu memperkukuh tadbir urus harta intelek SPKB, selain menyokong usaha memperluas penggunaan sistem berkenaan dalam sektor awam.

Beliau berkata SPKB dibangunkan pada 2021 atas inisiatif MPHS bagi mentransformasikan kaedah penguatkuasaan daripada sistem manual kepada platform digital yang lebih cekap, sistematik dan berintegriti.

"Melalui kerjasama Jabatan Penguatkuasaan, Bahagian Teknologi Maklumat MPHS dan Elix Solution Sdn Bhd, modul pertama iaitu Sistem Pengurusan Kompaun berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira enam bulan sebelum digunakan sepenuhnya pada Jun 2022.

"Hari ini, SPKB berkembang kepada 38 modul yang merangkumi pelbagai proses penguatkuasaan termasuk pengurusan kompaun, sitaan dan kertas siasatan, sekali gus menjadikannya sebuah platform digital penguatkuasaan yang menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian bersama Ketua Pegawai Strategi Elix Solution Sdn Bhd, Ahmad Muhsin Mubarak di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Julaihah berkata penggunaan peranti mudah alih membolehkan anggota penguat kuasa merekod pemeriksaan, mengeluarkan kompaun dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara terus di lapangan tanpa bergantung kepada rekod manual.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, malah memastikan ketepatan data, memperkukuh integriti pengurusan maklumat dan mempercepatkan proses penguatkuasaan.

Beliau berkata SPKB turut menerima Pensijilan MySTI dan dipilih Kerajaan Negeri menerusi Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) untuk diperluaskan penggunaannya ke pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

Menurutnya, pemeteraian perjanjian itu bukan sahaja mengiktiraf kerjasama strategik yang terjalin sejak 2021, malah menjadi asas kepada usaha pengkomersialan serta peluasan penggunaan SPKB pada masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, SPKB turut dipilih sebagai finalis Pertandingan Inovasi MALA 3.0 Piala Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain dijemput oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk berkongsi pengalaman pelaksanaan sistem tersebut.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.