SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) membuka permohonan sewaan tapak penjaja kepada usahawan tempatan sempena penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang bakal berlangsung di daerah itu.
MDSB dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan daerah berkenaan akan menjadi tuan rumah bagi acara sukan catur SUKMA Selangor 2026 yang dijadual berlangsung di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar dari 13 hingga 18 Ogos ini.
Sempena penganjuran acara tersebut, MDSB menawarkan ruang niaga melalui program pop-up market bagi memberi peluang kepada peniaga memasarkan produk kepada atlet, pegawai, penyokong serta pengunjung sepanjang kejohanan.
Sewaan tapak berukuran 10 kaki x 10 kaki ditawarkan pada kadar RM300 bagi tempoh enam hari, manakala deposit sebanyak RM100 dikenakan kepada setiap penyewa.
Tapak perniagaan akan beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Antara kategori jualan yang dibenarkan ialah makanan dan minuman sedia dimakan, pakaian, aksesori, bunga, keperluan rumah, cenderahati, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta lain-lain barangan yang bersesuaian.
Orang ramai yang berminat boleh melayari laman social MDSB untuk maklumat lanjut.








