SHAH ALAM, 28 JULAI: Generasi muda perlu berani membina jati diri, berfikiran kritis serta bijak menilai maklumat bagi menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata penggunaan teknologi perlu dilakukan secara berhemah dan bertanggungjawab supaya tidak memberi kesan negatif kepada pembentukan nilai dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.
Menurut beliau, penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh membentuk tabiat serta nilai yang tidak baik jika tidak disertai dengan keupayaan menilai kandungan secara rasional.
Katanya, generasi muda perlu menggunakan akal untuk berfikir, membuat pertimbangan dan mengawal emosi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat, selain memastikan setiap tindakan dibuat berlandaskan fakta.
“Generasi muda perlu berani bertanya, tidak takut melakukan kesilapan dan terus mencuba kerana setiap kejayaan bermula daripada idea kecil serta sifat ingin tahu dalam membina kreativiti dan keyakinan diri.
“Pada masa sama, mereka perlu memiliki jati diri yang kukuh, berfikiran terbuka dan tidak terpengaruh dengan pemikiran lapuk berasaskan perkauman yang melampau, sebaliknya menilai sesuatu perkara secara rasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Liga Robotik Dunia FutureForge 2026 Pertandingan Pengekodan dan Robotik Antarabangsa di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa membimbing serta mempercayai potensi anak-anak sebagai pewaris masa depan Selangor.
Katanya, sokongan berterusan golongan tersebut penting dalam membentuk generasi muda yang kreatif, berdaya saing dan mampu mengembangkan potensi diri untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.







