SHAH ALAM, 2 MEI: Tindakan berterusan menghina Institusi Kesultanan Selangor disifatkan sebagai biadab, tegas EXCO Agama Islam.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sebarang cubaan untuk memperlekeh atau menghina institusi ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.
“Saya memandang serius dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap Institusi Kesultanan Selangor yang kembali berleluasa di media sosial sejak kebelakangan ini.
“Institusi diraja adalah tonggak kedaulatan negeri dan negara. Ia bukan sekadar simbol, tetapi payung yang memelihara keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Mohamamd Fahmi yang juga EXCO Pembudayaan Inovasi menyeru semua pihak agar bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.
Menurut beliau, kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan penghinaan, provokasi atau ketegangan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara segera, telus dan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan digital yang melanggar undang-undang.
“Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang bersesuaian harus diperkasa bagi memastikan pengesanan serta tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Sekiranya insiden sebegini terus berulang, Kerajaan Persekutuan wajar mempertimbangkan langkah penambahbaikan termasuk memperkukuh kerangka perundangan dan penguatkuasaan sedia ada demi keharmonian masyarakat serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Terbaharu, tular imej berunsur kecerdasan buatan (AI) Sultan Selangor tidak memakai baju sambil memegang permainan air.








