SHAH ALAM, 12 JULAI: Penganjuran Festival Turath Islami Selangor direncana bagi mengimbangi antara nikmat kemajuan dan tradisi ilmu pengajian Islam yang kian dilupakan masyarakat moden, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata matlamat utama program itu adalah untuk mengisi jiwa serta menggerakkan hati umat Islam khususnya di Selangor, untuk lebih rapat dengan al-Quran dan Rasullullah SAW.
“Dengan apa yang dicuba dibawa, seolah-olah menjadi satu ironi, Selangor negeri paling maju dan penyumbang ekonomi terbesar negara, tetapi kita pergi ke kembali kepada karya asal (pengajian kitab tradisi).
“Menggali kitab-kitab lama dan pengajian lama akan membawa jalan yang baik agar masyarakat yang maju secara material mempunyai jiwa yang tenang, hati yang terbuka, dan pemikiran yang jelas, serta tidak mudah terheret dengan arus kebobrokan moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 300 peserta itu turut disertai Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.
[caption id="attachment_710024" align="aligncenter" width="700"] Perkongsian ilmu oleh Prof Emeritus Dr. Syeikh Abdul Fattah Al-Awari di Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin menambah, Kerajaan Negeri berhasrat membudayakan kembali kitab Dalail al-Khairat dalam masyarakat, yang turut mempunyai susur galur dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Jelasnya, kitab menghimpunkan doa dan selawat penuh keindahan buat Nabi Muhammad SAW itu merupakan fokus utama dalam FTIS kali ini, selain kitab Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Al-Jalalain: Surah-surah Pilihan.
“Diharapkan Dalail al-Khairat menjadi tradisi dan nilai baharu dalam masyarakat. Kita juga berhasrat mempopularkan amalan zikir dan selawat dalam kitab berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Amirudin menyasarkan kehadiran lebih 30,000 peserta secara fizikal dan dalam talian, sepanjang sembilan hari penganjuran FTIS 3.0.
Setakat semalam, katanya, lebih 2,000 peserta telah mendaftar sekali gus membuktikan FTIS mendapat sambutan dan sokongan daripada golongan yang mencintai ilmu.
“Secara amnya kalau lihat pada tahun lepas, kita dapat 30,000 hingga 40,000 orang yang ikuti program kita secara fizikal dan dalam talian. Tahun ini saya jangkakan kehadirannya juga begitu,” katanya.
FTIS 3.0 bermula hari ini hingga 20 Julai depan menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor, yang akan menjalankan tiga sesi pengajian setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
Festival itu turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.
[caption id="attachment_710025" align="aligncenter" width="700"] Perkongsian ilmu oleh Prof Emeritus Dr. Syeikh Abdul Fattah Al-Awari di Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_710026" align="aligncenter" width="700"] Orang ramai hadir mendengar kupasan kitab sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_710027" align="aligncenter" width="700"] Seorang peserta sedang mencatit nota di Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]