SHAH ALAM, 28 JULAI: Penyediaan kenderaan pengantara bagi memudahkan orang ramai menghadiri Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2026 akan diteliti susulan pengoperasian Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang dijangka meningkatkan kehadiran pengunjung.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat FTIS 2026 akan datang, termasuk mengenal pasti laluan paling sesuai bagi menghubungkan pengguna pengangkutan awam ke lokasi festival.
Beliau berkata pengoperasian LRT3 dijangka memberi impak positif terhadap jumlah kehadiran pengunjung memandangkan jaringan pengangkutan awam kini lebih meluas.
“Ya, sudah pasti ada impaknya (kepada kehadiran pengunjung). Tapi kita kena tengok laluan nanti. Mungkin (kenderaan pengantara) nanti kita kemaskini ke laluan kenderaan umum seperti LRT3 dan sebagainya.

“Dalam mesyuarat seterusnya kita akan cuba membantu supaya peserta melalui LRT3 akan dibantu dengan kenderaan seperti bas ataupun ataupun kenderaan yang sesuai untuk membawa peserta pada waktu tertentu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat FTIS 2026 di sini, hari ini.
LRT3 Laluan Shah Alam yang beroperasi 29 Jun lalu menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang meningkatkan jaringan pengangkutan awam di bahagian barat Selangor serta memudahkan akses ke kawasan perumahan, komersial dan perindustrian utama.
FTIS 2026 akan berlangsung bermula 13 hingga 20 September ini sebagai kesinambungan manifestasi Kerajaan Negeri memperkukuh masyarakat berilmu berteraskan warisan intelektual Islam.
Mengangkat tema Hikmah Warisan Islam, FTIS 2026 mengetengahkan kitab Al-Hikam al-Ata’iyyah karya tokoh besar tasawuf Islam, iaitu Ibnu Atha-illah As-Sakandari.
Festival itu akan turut menampilkan 23 tokoh ulama tempatan dan antarabangsa termasuk bekas mufti besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah, ulama terkemuka Maghribi Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri; Ustaz Dr Adi Hidayat (sarjana ilmu al-Quran dan Hadis Indonesia); Ustaz Wadi Annuar serta Mufti Selangor Dato' Setia Dr Anhar Opir.









