Imigresen tahan 1,111 majikan gaji PATI, langgar syarat permit

28 Jul 2026, 3:34 AM
Imigresen tahan 1,111 majikan gaji PATI, langgar syarat permit

SHAH ALAM, 28 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 1,111 majikan bagi tempoh Januari hingga 15 Julai lalu kerana melakukan kesalahan imigresen.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya bukan saja menyasarkan warga asing tetapi turut mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang imigresen, lapor Harian Metro.

“Dari perspektif imigresen, sekiranya siasatan mendapati majikan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau menggajikan warga asing yang melanggar syarat pas atau permit, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Pendekatan JIM bukan saja mensasarkan warga asing yang melakukan kesalahan, malah turut mengambil tindakan terhadap pihak yang mewujudkan permintaan atau memberi ruang kepada pelanggaran undang-undang imigresen,” katanya.

Beliau berkata JIM turut mengemukakan surat pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung hasil operasi dan kesalahan yang dikesan supaya tindakan susulan dapat diambil, termasuk berkaitan lesen perniagaan dan pematuhan syarat yang ditetapkan.

“Pendekatan ini memastikan setiap kes ditangani secara bersepadu, membabitkan perkongsian maklumat dan tindakan susulan oleh agensi berkaitan, sekali gus memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta mengelakkan premis atau pihak yang sama terus mengulangi kesalahan,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.