Kecuaian manusia kekal punca utama kemalangan jalan raya: Ahmad Maslan

27 Jul 2026, 7:21 AM
Kecuaian manusia kekal punca utama kemalangan jalan raya: Ahmad Maslan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kecuaian manusia kekal menjadi punca utama kemalangan jalan raya di negara ini dengan menyumbang 80.6 peratus daripada keseluruhan kes, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Memetik data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), beliau berkata hanya 13.2 peratus kemalangan berpunca daripada keadaan jalan, manakala 6.2 peratus lagi disebabkan keadaan kenderaan.

“Punca terbesar kemalangan jalan raya masih kecuaian manusia, bukan lampu jalan," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara.

Menjawab soalan tambahan Senator Thiagarajah Rajagopal mengenai usaha menambah baik pencahayaan di laluan motosikal di Dewan Negara, Ahmad berkata kerajaan tidak mampu memasang lampu jalan di setiap jalan di seluruh negara kerana kekangan kewangan.

Menurutnya, kerajaan perlu mengutamakan penggunaan sumber memandangkan semua kenderaan telah dilengkapi lampu.

“Kita tidak boleh memasang lampu di setiap jalan di Malaysia kerana kerajaan tidak mempunyai wang yang mencukupi.

“Kereta ada lampu, motosikal ada lampu. Apabila gelap, pemandu perlu menghidupkannya,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto BERNAMA

Beliau berkata projek lampu jalan bagaimanapun akan diteruskan di lokasi yang memerlukan menerusi pelbagai agensi, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad turut memaklumkan tiga kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang berteduh di bawah jambatan lebuh raya ketika hujan direkodkan antara 2022 hingga Jun 2026, mengakibatkan enam kematian.

Insiden terbaharu berlaku pada 25 Jun lalu apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh dua motosikal yang diletakkan di bawah jejambat untuk berteduh daripada hujan, mengorbankan seorang penunggang.

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya memeriksa lokasi berkenaan serta memasang papan tanda amaran "Dilarang Berhenti" di kawasan yang sering menjadi tempat penunggang motosikal berhenti secara tidak sah di bawah jambatan.

LLM turut menyiapkan 218 hentian motosikal antara 2023 hingga 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kemudahan itu di lebuh raya seluruh negara kepada 571.

Sebanyak 18 lagi hentian motosikal dirancang untuk dibangunkan tahun ini.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselesaan dan keselamatan penunggang motosikal, di samping mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata lokasi pembinaan hentian motosikal baharu ditentukan berdasarkan dua kriteria utama, iaitu rizab lebuh raya yang mencukupi serta ruang yang selamat untuk laluan masuk dan keluar penunggang.

Lokasi di bawah jejambat hanya akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi keperluan keselamatan tersebut.

Selain itu, LLM mewajibkan syarikat konsesi lebuh raya melantik juruaudit keselamatan jalan raya bebas bagi menjalankan Audit Keselamatan Jalan Raya Operasi Peringkat Lima setiap lima tahun untuk mengenal pasti lokasi berisiko tinggi dan melaksanakan langkah mitigasi.

“Melalui audit ini, lokasi berisiko tinggi dapat dikenal pasti, sekali gus membolehkan syarikat konsesi melaksanakan langkah mitigasi dan penambahbaikan untuk mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.