Pemandu positif dadah dalam nahas ragut dua remaja di Teluk Intan

27 Jul 2026, 3:36 AM
Pemandu positif dadah dalam nahas ragut dua remaja di Teluk Intan

IPOH, 27 JULAI: Pemandu kereta yang dipercayai menyebabkan kemalangan melibatkan dua remaja perempuan maut di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam, didapati positif dadah jenis benzodiazepine.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu mendapati, suspek positif dadah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

“Siasatan berhubung kemalangan dijalankan di bawah Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan berkaitan dadah turut dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.35 petang semalam, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal, sebuah lagi kereta serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun itu, dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.