SUKMA 2026: Atlet Selangor perlu pamer semangat kesukanan, sasar juara keseluruhan

26 Jul 2026, 1:00 PM
SUKMA 2026: Atlet Selangor perlu pamer semangat kesukanan, sasar juara keseluruhan
SUKMA 2026: Atlet Selangor perlu pamer semangat kesukanan, sasar juara keseluruhan
SUKMA 2026: Atlet Selangor perlu pamer semangat kesukanan, sasar juara keseluruhan
SUKMA 2026: Atlet Selangor perlu pamer semangat kesukanan, sasar juara keseluruhan

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kontinjen Selangor perlu mempamer aksi terbaik dan bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus mengulangi kejayaan 28 tahun lalu, yang ketika itu turut menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan terbabit.

Justeru Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan barisan atlet supaya menekankan semangat kesukanan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, di samping kerjasama jitu antara pegawai dan pentadbiran negeri.

Menurutnya, atlet juga perlu menunjukkan kematangan dalam bersukan supaya kejayaan diperoleh dengan cara sah dan diperakui, bukan secara curang atau melanggar undang-undang.

“Kalau kita ingin menjadi negeri yang maju, semua rakyat termasuk atletnya harus menonjolkan nilai semangat kesukanan dari masa ke semasa kerana kita nak ukur prestasi dan strategi kita.

“Kemenangan tidak akan ada nilai kalau cara permainan tidak adil dan tak ikut lunas dan undang-undang. Sebab itu ada juri. Bola sepak ada VAR (video bantuan pengadil). Ada dopping untuk pastikan tidak ada penyalahgunaan barang terlarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada atlet kontinjen Selangor pada majlis penyerahan bendera kontinjen Selangor ke Temasya SUKMA 2026 berlangsung di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz pada 26 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Amirudin turut mengingatkan semua atlet dan pegawai untuk menjaga kelakuan dan tampilkan keperibadian yang baik kerana ia akan dinilai tetamu serta atlet dari seluruh negara.

Menurutnya, temasya berkenaan dijangka dihadiri sehingga 18,000 tetamu termasuk lebih 13,000 atlet, selain kumpulan pegawai serta penyokong semua negeri.

“Marilah kita menjadi tuan rumah, penganjur yang baik, mesra. Dari situ kita dinilai mampu menganjur temasya dengan cekap, majlis yang lengkap dan tersusun selain layanan kepada atlet, tetamu juga baik,” katanya.

SUKMA edisi ke-22 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan yang melibatkan sembilan daerah membabitkan 52 venue.

Para SUKMA pula melibatkan 369 acara daripada 10 sukan merangkumi renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia serta powerlifting.

Temasya sukan terbesar negara itu disertai semua kontinjen negeri selain Brunei Darussalam sah menyertainya sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.