SHAH ALAM, 26 JULAI: Seramai 20 wanita dari seluruh Selangor berjaya menamatkan ekspedisi Women’s Trail Hiking Negeri Selangor 2026 di Lata Medang, Kuala Kubu Bharu selepas mengharungi cabaran selama dua hari bermula 24 Julai lalu.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor itu disertai 32 peserta termasuk pasukan sokongan, dengan objektif memperkukuh daya tahan fizikal dan mental dalam kalangan peserta.
Selain itu, program berkenaan bertujuan membentuk disiplin, semangat berpasukan serta kepimpinan, di samping menggalakkan penyertaan wanita dalam aktiviti rekreasi berteraskan alam semula jadi.
Menurut jabatan itu, ekspedisi berkenaan turut menyemai rasa cinta terhadap khazanah alam selain memperkasakan budaya rekreasi yang selamat, aktif dan lestari.
"Di samping itu, program ini menyemai rasa cinta terhadap khazanah alam serta memperkasakan budaya rekreasi yang selamat, aktif dan lestari," katanya dalam kenyataan.
Menurut jabatan itu, peserta turut mendapat sokongan pasukan teknikal yang terdiri daripada malim gunung, paramedik dan urus setia bagi memastikan ekspedisi berlangsung dengan lancar dan selamat.
"Setiap peserta berjaya menamatkan ekspedisi dalam suasana selamat, penuh semangat serta sarat dengan pengalaman berharga," menurut kenyataan itu.
Jabatan itu berkata penganjuran ekspedisi berkenaan turut membuktikan kemampuan wanita mengharungi cabaran aktiviti lasak, sekali gus memperkukuh budaya rekreasi yang sihat dan selamat.
"Wanita hari ini bukan sahaja mampu mengharungi cabaran alam, malah berupaya menjadi inspirasi dalam membudayakan gaya hidup sihat, memperkukuh jati diri serta menerajui agenda rekreasi yang progresif dan berdaya saing.
"Semoga usaha murni ini terus menyemarakkan budaya rekreasi, melahirkan masyarakat yang lebih aktif, sihat dan menghargai kelestarian alam demi kesejahteraan generasi masa hadapan," katanya.
Terdahulu, majlis pelepasan peserta Women’s Trail Hiking Negeri Selangor 2026 disempurnakan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Jasalilawadi Jahi.
Beliau berharap program itu menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai wanita dalam aktiviti rekreasi berteraskan alam semula jadi.










