ad
AGENDA

Bomba berjaya padam 80 peratus kebakaran hutan di Kuala Kubu Bharu

23 Jul 2025, 2:52 PM
Bomba berjaya padam 80 peratus kebakaran hutan di Kuala Kubu Bharu
Bomba berjaya padam 80 peratus kebakaran hutan di Kuala Kubu Bharu

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan kira-kira 80 peratus kawasan kebakaran hutan sekunder seluas 24 hektar di Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu sejak semalam.

Ketua Zon 6 Selangor Penguasa Bomba Kanan II Mustakim Rimon berkata operasi dijalankan tanpa henti sejak menerima panggilan kecemasan daripada pemilik tanah pada 6.26 petang semalam.

“Setibanya di lokasi kira-kira 30 minit kemudian, kebakaran didapati melibatkan kawasan hutan sekunder, bukan hutan simpan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sebanyak 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Rawang digegaskan bagi mengawal kebakaran daripada merebak.

[caption id="attachment_711948" align="aligncenter" width="813"] Kebakaran hutan di Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu memusnahkan kawasan seluas 56 ekar pada 23 Julai 2025. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor[/caption]

Mustakim berkata pihaknya bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian dengan anggota terpaksa membawa peralatan secara manual sejauh kira-kira dua kilometer kerana tiada laluan jentera.

“Unit Udara JBPM turut digerakkan menggunakan helikopter AW189 susulan kekurangan sumber air di kawasan berkenaan yang jauh ke dalam hutan. Sebanyak 6,000 liter air digunakan bagi pemadaman udara,” katanya.

Beliau berkata JBPM turut menggunakan dron dengan kamera pengesan haba untuk mengenal pasti titik panas bagi pemadaman lebih berfokus.

“Cabaran utama termasuk bentuk muka bumi berbukit dan cuaca panas berangin yang mempercepatkan penyebaran api,” katanya sambil menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan berisiko tinggi.

Hutan sekunder merujuk kepada kawasan hutan yang tumbuh semula selepas gangguan seperti pembalakan, kebakaran atau aktiviti manusia dan lazimnya lebih mudah terbakar.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.