KLANG, 26 JULAI: Usaha pemulihan Sungai Klang menerusi inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) kini mencapai kemajuan 60 peratus dan dijangka siap lebih awal sekitar 2028 berbanding sasaran asal.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata projek berkenaan pada awalnya disasarkan siap dalam tempoh lima tahun, namun pelaksanaan beberapa projek berkaitan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan sama membolehkan kerja pemulihan dilaksanakan secara serentak.
"Kita sasar dulu lima tahun untuk siapkan keseluruhan projek. Tetapi selepas kita mulakan, pihak kerajaan persekutuan melalui JPS turut mengenal pasti beberapa projek di kawasan hampir sama.
"Justeru, Kerajaan Negeri agihkan pelaksanaan dan kita yakin boleh siapkan lebih cepat," katanya ketika ditemui selepas program SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 sempena sambutan Hari Bakau Sedunia di Mangrove Point, Hutan Simpan Kekal Raja Lumu, di sini, hari ini.
Izham berkata, usaha memulihkan Sungai Klang merupakan satu cabaran besar memandangkan sungai berkenaan merupakan antara nadi utama Selangor yang mempunyai panjang lebih 100 kilometer, merentasi kawasan Kuala Lumpur sebelum kembali memasuki Selangor.

Jelasnya, berbanding beberapa sungai utama lain seperti Sungai Langat dan Sungai Selangor, Sungai Klang dipilih antara cabaran terbesar untuk dipulihkan kerana kepentingannya terhadap pembangunan, ekonomi dan kehidupan masyarakat.
Katanya, sejak pelaksanaan SMG, hampir 100,000 tan sampah dikutip dan dilupuskan dari kawasan Sungai Klang, menunjukkan tahap pencemaran yang perlu ditangani secara serius.
"Tahniah kepada LLSB kerana usaha besar ini. Untuk memelihara dan memulihara Sungai Klang, cabarannya sangat besar kerana sungai ini merupakan nadi penting kepada Selangor dan kita tidak boleh gagal.
"Di banyak negara luar, kita lihat sungai mereka berjaya dipulihkan. Kita mahu Sungai Klang kembali memainkan peranan sebagai nadi ekonomi, kawasan rekreasi, pelancongan dan hubungan masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata kerja pengorekan Sungai Klang merupakan antara komponen penting dalam usaha meningkatkan kapasiti sungai serta membantu mengurangkan risiko banjir.
"Kerja korekan terakhir Sungai Klang dilakukan pada 2001, lebih 20 tahun lalu. Akibat mendapan dan sampah, kedalaman sungai terjejas dan purata air hanya sekitar satu meter. Keadaan ini turut menjejaskan aktiviti pelayaran di Sungai Klang," katanya.

Beliau berkata, melalui kerjasama Kerajaan Negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd dan beberapa rakan strategik lain, lebih 1.25 juta meter padu mendapan serta sampah berjaya dikorek sehingga kini.
"Sudah tentu usaha ini akan membantu tebatan banjir dan meningkatkan keupayaan kita menangani risiko banjir. Walaupun ia bukan satu-satunya faktor, kita dapat melihat kesan selepas kerja korekan dilakukan," katanya.
Program SMG Mega Mangrove Cleanup yang dianjurkan hari ini berjaya menghimpunkan lebih 1,600 sukarelawan, selain mendapat sokongan lebih 20 penaja daripada pelbagai sektor.








