MPKS keluar 45 kompaun dalam operasi pasar malam Puncak Alam

26 Jul 2026, 3:33 AM
MPKS keluar 45 kompaun dalam operasi pasar malam Puncak Alam

SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 45 kompaun dan 34 notis pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam pada 24 Julai.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menutup 27 premis kerana melanggar syarat lesen, satu penarikan lesen perniagaan dan lima sitaan peralatan perniagaan termasuk khemah, payung, meja, alat penimbang, tong ikan serta bakul sayur.

Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memeriksa lesen dan pematuhan syarat perniagaan di gerai sayur dalam operasi bersepadu di Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam. Foto Facebook MPKS

Menurutnya, operasi bermula 4 petang hingga 1 pagi melibatkan 96 anggota pelbagai unit di MPKS, Jabatan Imigresen Malaysia Selangor, Pejabat Kesihatan Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Selangor.

“Operasi ini dilaksana hasil pemantauan berterusan MPKS yang mendapati ada peniaga menggajikan pekerja warga asing dan ada warga asing menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam.

“Tindakan bersepadu ini bagi membendung pelanggaran syarat lesen perniagaan, memastikan pematuhan undang-undang kecil dan mewujudkan persekitaran perniagaan lebih teratur, selamat serta adil kepada semua peniaga yang mematuhi peraturan,” katanya di Facebook.

Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Selangor memeriksa 83 warga asing dan menahan 12 individu untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen.

Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Selangor memeriksa dokumen pengenalan seorang warga asing ketika operasi bersepadu di Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam. Foto Facebook MPKS

Selain itu, Pejabat Kesihatan Kuala Selangor yang menjalankan pemeriksaan ke atas pengendali makanan dan mengeluarkan lapan Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Selangor menyelamatkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai berasal dari Kemboja sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan lanjut,” katanya.

Menurut MPKS, pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat lesen, undang-undang kecil serta peraturan ditetapkan.

Peniaga juga diingatkan menjalankan perniagaan secara sah, menjaga kebersihan kawasan perniagaan dan tidak menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran.

Pegawai Pejabat Kesihatan Kuala Selangor menjalankan pemeriksaan terhadap pengendali makanan bagi memastikan pematuhan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dalam operasi bersepadu di Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam. Foto Facebook MPKS

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.