Operasi di tapak pasar malam, MPKS keluar 45 kompaun

25 Jul 2026, 2:38 PM
Operasi di tapak pasar malam, MPKS keluar 45 kompaun
Operasi di tapak pasar malam, MPKS keluar 45 kompaun

SHAH ALAM, 25 JULAI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 45 kompaun dalam Operasi Bersepadu di Tapak Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam semalam bagi memastikan pematuhan syarat lesen perniagaan serta undang-undang kecil.

Operasi yang berlangsung dari jam 4 petang hingga 1 pagi itu membabitkan 96 anggota daripada MPKS, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor.

MPKS dalam kenyataan memaklumkan operasi dijalankan susulan pemantauan yang mendapati terdapat peniaga menggajikan pekerja warga asing selain warga asing sendiri menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam berkenaan.

Sepanjang operasi, Jabatan Penguatkuasa MPKS memeriksa 34 premis perniagaan dan mengeluarkan 34 kompaun terhadap peniaga tanpa lesen mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.

Selain itu, satu kompaun turut dikenakan terhadap pemegang lesen kerana melanggar syarat lesen dengan menggajikan pekerja warga asing.

MPKS turut mengeluarkan 26 notis arahan menghentikan perniagaan, satu notis amaran serta menutup 27 premis yang didapati melakukan pelanggaran.

Sebanyak lima tindakan sitaan turut dilaksanakan membabitkan pelbagai peralatan perniagaan, termasuk khemah, payung, meja, alat penimbang, tong ikan dan bakul sayur.

Dalam operasi sama, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS mengeluarkan 11 kompaun terhadap peniaga yang gagal menjaga kebersihan kawasan perniagaan.

Sementara itu, Jabatan Pelesenan MPKS menarik balik satu lesen perniagaan kerana pemegang lesen didapati melanggar syarat dengan menggajikan pekerja warga asing.

JIM Selangor pula memeriksa 83 warga asing dan menahan 12 individu bagi membantu siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen.

Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor turut mengeluarkan lapan Notis 32B mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pada masa sama, JKM Daerah Kuala Selangor menyelamatkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai berasal dari Kemboja sebelum diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.

Secara keseluruhan, operasi itu merekodkan 34 pemeriksaan premis, 27 penutupan premis, satu penarikan lesen, lima tindakan sitaan, 45 kompaun serta 34 notis membabitkan pelbagai kesalahan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.