HYDERABAD, 25 JULAI: Menteri Pendidikan India Dharmendra Pradhan meletak jawatan susulan protes yang diterajui golongan belia di negara itu berhubung kebocoran kertas peperiksaan dan tuntutan yang semakin meningkat supaya reformasi pendidikan dilaksanakan.
Pradhan mengumumkan peletakan jawatannya menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform X pada petang Sabtu dan berkata surat peletakan jawatan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Narendra Modi.
“Dengan mengambil kira situasi di Jantar Mantar dan kawasan lain di negara ini, serta bagi memastikan anasir antinasional tidak mengambil kesempatan, perpaduan negara terus terpelihara, masa depan pelajar tidak terjejas akibat kerumitan undang-undang dan anak-anak kita dapat memberi tumpuan kepada pelajaran serta membina kerjaya, saya telah mengemukakan peletakan jawatan kepada perdana menteri,” kata Pradhan.
Sementara itu, susulan rundingan dengan kerajaan, Cockroach Janta Party (CJP) yang mengetuai protes itu mengumumkan penamatan gerakan berkenaan selepas semua tuntutannya diterima, lapor Anadolu Ajansi.
“Kami menarik balik gerakan ini dengan niat baik, dengan pemahaman bahawa perkara yang dipersetujui akan dilaksanakan dalam tempoh masa yang telah dipersetujui,” kata ketua jurucakap parti itu Saurav Das kepada wartawan.
Media melaporkan ribuan orang berkhemah di New Delhi bagi menuntut reformasi sistem pendidikan negara itu susulan kebocoran kertas peperiksaan kemasukan perubatan peringkat kebangsaan pada Mei.
Pada Jumaat, Menteri J.P. Nadda dan Jitendra Singh, dua anggota berpengaruh dalam kerajaan Modi, mengadakan pertemuan dengan wakil CJP, Saurav Das dan Ashutosh Ranka, mewakili golongan belia yang mengadakan protes, bagi membincangkan tuntutan mereka.
-- BERNAMA







