Dari Shah Alam ke India, seni tari Bharatanatyam terus diwarisi generasi muda

30 Sep 2026, 8:00 AM
Dari Shah Alam ke India, seni tari Bharatanatyam terus diwarisi generasi muda
Dari Shah Alam ke India, seni tari Bharatanatyam terus diwarisi generasi muda
Dari Shah Alam ke India, seni tari Bharatanatyam terus diwarisi generasi muda

Daripada sebuah kelas tarian di Malaysia, langkah penari muda membawa Bharatanatyam merentasi sempadan, termasuk ke India, tanah asal seni tari tradisional masyarakat Tamil itu.

Bagi pengajar Bharatanatyam, Kalaivani Krishnanmuthy, 40, peluang membawa pelajarnya membuat persembahan di luar negara bukan sekadar pengalaman pentas, sebaliknya sebahagian daripada usaha memastikan seni warisan itu terus hidup dan dikenali generasi baharu.

Tahun lalu, beliau membawa beberapa orang pelajarnya ke India untuk membuat persembahan di beberapa buah kuil, selain pernah membimbing pelajar mempersembahkan Bharatanatyam di hadapan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika kunjungannya ke Malaysia.

Kini, Kalaivani merancang untuk membawa pelajarnya ke negara lain yang mempunyai komuniti Tamil supaya mereka bukan sahaja dapat mengembangkan bakat, malah memperkenalkan seni Bharatanatyam yang dipelajari di Malaysia kepada khalayak lebih luas.

Jurulatih tarian K. Kalaivani melatih penari tarian Barathanatiyam di Kalaivani Fine Art, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan. Saya mahu pelajar saya mendapat pengalaman di tempat yang berbeza dan membawa nama seni Bharatanatyam Malaysia ke peringkat yang lebih luas,” katanya.

Bagi Kalaivani, usaha membawa Bharatanatyam ke pentas antarabangsa mempunyai makna yang lebih besar kerana kelangsungan seni itu bergantung kepada sejauh mana generasi muda terus mengenali, mempelajari dan menghayatinya.

Beliau yang mula mempelajari Bharatanatyam sejak berusia enam tahun telah mengajar seni itu selama 14 tahun secara sambilan sebelum memilih untuk menceburinya sepenuh masa mulai tahun ini.

Kini, bertempat di Shah Alam, lebih 50 pelajar berusia antara lima hingga 55 tahun mengikuti kelas kendaliannya, memperlihatkan bahawa seni yang diwarisi daripada tradisi masyarakat Tamil itu masih mempunyai tempat dalam kehidupan generasi masa kini.

Seni tari dorong generasi muda kekal aktif 

Namun, cabaran untuk menarik dan mengekalkan minat generasi muda tidak boleh dipandang ringan, terutama ketika mereka membesar dalam persekitaran yang semakin bergantung kepada teknologi dan telefon bimbit.

Menurut Kalaivani, terdapat pelajar muda yang mudah berasa letih ketika menjalani latihan dan ada kalanya menghadapi kesukaran melakukan pergerakan asas yang mampu dilakukan oleh pelajar lebih berusia.

“Kadang-kadang, pelajar yang masih muda pun susah hendak buat pergerakan yang boleh dilakukan oleh pelajar yang lebih berusia. Ini menunjukkan betapa pentingnya aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian,” katanya.

Jurulatih tarian K. Kalaivani melatih penari tarian Barathanatiyam di Kalaivani Fine Art, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam konteks itu, Bharatanatyam bukan sahaja menjadi medium untuk mempelajari seni tari, malah menyediakan ruang kepada generasi muda untuk bergerak aktif, melatih koordinasi tubuh dan minda serta membina disiplin.

Setiap pergerakan dalam Bharatanatyam mempunyai makna, manakala ekspresi wajah, gerakan tubuh dan mudra digunakan untuk menyampaikan emosi serta cerita kepada penonton.

“Bagi saya, Bharatanatyam bukan sekadar tarian. Setiap pergerakan ada maksud dan setiap ekspresi pula membawa cerita,” katanya.

Lebih penting, proses mempelajari seni itu turut membuka ruang kepada anak-anak muda untuk mengenali warisan mereka melalui kisah, muzik, lirik dan tradisi yang terkandung dalam persembahan.

Kalaivani berkata, identiti budaya juga dapat dilihat melalui perkara yang kelihatan kecil, termasuk cara pelajar berpakaian ketika menghadiri kelas.

“Kadang-kadang, kita boleh nampak budaya kita masih hidup hanya dengan melihat penampilan anak-anak yang datang ke kelas. Itu pun sudah menjadi satu bentuk pembelajaran,” katanya.

Penari membuat latihan tarian Barathanatiyam di Kalaivani Fine Art, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, apabila kisah mitologi yang terkandung dalam lagu berkaitan unsur ketuhanan diterangkan kepada pelajar, mereka secara tidak langsung turut didedahkan kepada sejarah dan tradisi masyarakat Tamil.

Tradisi disalut unsur moden 

Bagaimanapun, usaha memperkenalkan Bharatanatyam kepada generasi baharu tidak bermakna seni itu perlu meninggalkan akar tradisinya.

Kalaivani berpandangan bahawa pembaharuan dalam Bharatanatyam boleh dilakukan selagi identiti asal seni tersebut terus dihormati, khususnya dalam pemilihan karya dan lirik.

“Boleh sahaja kita bawa pembaharuan, tetapi jangan sampai hilang identiti asal Bharatanatyam. Apabila memilih lagu, terutamanya lagu yang berkaitan dengan unsur ketuhanan, kita perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Penari membuat latihan tarian Barathanatiyam di Kalaivani Fine Art, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam usaha memastikan lebih ramai anak muda dapat mengenali seni berkenaan, beliau turut melihat sokongan keluarga, kuil, kerajaan dan masyarakat sebagai sebahagian daripada ekosistem penting untuk kelangsungan Bharatanatyam.

Kuil-kuil di Malaysia, katanya, menyediakan ruang kepada penari untuk membuat persembahan sempena pelbagai acara keagamaan dan kebudayaan, termasuk Aadi, Maha Shivaratri dan Navaratri.

Pada masa sama, peluang persembahan dalam program kerajaan turut membantu memberikan pengiktirafan dan pendedahan lebih luas kepada seni tradisional masyarakat India.

Cabaran akses seni tradisi 

Namun, akses kepada pendidikan seni masih menjadi cabaran bagi sesetengah pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kalaivani berkata terdapat pelajar berbakat yang terpaksa menghentikan pembelajaran kerana kekangan kewangan dan beliau sendiri cuba memberikan pengurangan yuran mengikut kemampuan.

“Kalau ada pelajar yang betul-betul berbakat tetapi menghadapi masalah kewangan, saya cuba bantu setakat yang saya mampu. Saya tidak mahu mereka berhenti hanya kerana tidak mampu membayar yuran,” katanya.

Penari membuat persiapan sebelum tarian Barathanatiyam di Kalaivani Fine Art, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berharap lebih banyak bantuan kewangan dapat disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor atau pertubuhan bukan kerajaan supaya pelajar berbakat mempunyai peluang untuk terus belajar, menyertai persembahan dan mengembangkan potensi mereka.

Bagi Kalaivani, pengalaman membuat persembahan di India membuktikan bahawa pelajar Malaysia mampu membawa seni tersebut ke pentas yang lebih luas apabila diberikan peluang dan pendedahan.

Kini, beliau mahu membuka lebih banyak ruang untuk pelajarnya menimba pengalaman di luar negara, termasuk di negara yang mempunyai komuniti Tamil.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Kalaivani turut berhasrat mengembangkan sekolah tariannya supaya lebih ramai generasi muda dapat mempelajari Bharatanatyam.

Baginya, usaha membawa seni itu ke pentas antarabangsa dan usaha mendekatkannya kepada generasi digital sebenarnya menuju matlamat yang sama — memastikan warisan tidak terhenti pada satu generasi.

Selagi ada anak muda yang sanggup belajar, guru yang bersedia mengajar dan masyarakat yang memberi ruang, setiap gerakan Bharatanatyam bukan sekadar menghidupkan persembahan, tetapi meneruskan cerita sebuah warisan kepada generasi seterusnya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.