SUKMA: Atlet Selangor diseru mantapkan persediaan fizikal, mental

25 Jul 2026, 3:15 PM
SUKMA: Atlet Selangor diseru mantapkan persediaan fizikal, mental
SUKMA: Atlet Selangor diseru mantapkan persediaan fizikal, mental

SHAH ALAM, 25 JULAI: Atlet Selangor yang bakal beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 diingatkan supaya memastikan persediaan fizikal serta mental berada pada tahap terbaik menjelang saingan yang semakin hampir.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor yang dijadual berlangsung esok menjadi simbol amanah serta pembakar semangat kepada atlet untuk mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA.

"Esok kita akan menyaksikan penyerahan bendera Kontinjen Selangor sebagai simbol amanah dan semangat untuk membawa nama negeri ke pentas yang lebih besar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, prestasi memberangsangkan yang dipamerkan atlet pada kejohanan Pra-SUKMA turut meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan kontinjen Selangor menjelang temasya sebenar.

Dalam pada itu, Anfaal berharap atlet yang mengalami kecederaan ringan ketika beraksi segera pulih sepenuhnya agar dapat meneruskan persiapan tanpa sebarang gangguan.

"Saya perasan ada antara atlet yang mengalami kecederaan ringan ketika beraksi. Semoga semuanya cepat pulih dan kembali cergas. Jaga diri baik-baik dan jangan lupa untuk terus bersedia bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental," katanya.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya sentiasa yakin dengan latihan yang telah dilalui, mempercayai kekuatan pasukan dan tidak sesekali meragui kemampuan diri.

"Percaya pada latihan. Percaya pada pasukan. Dan paling penting, percaya pada diri sendiri.

"Apa pun yang bakal berlaku nanti, turunlah dengan hati yang berani, semangat yang kental dan penuh kebanggaan membawa nama Selangor. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat kalian. Pergi berjuang, anak-anak!" katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.