SABAK BERNAM, 29 JULAI: Transformasi Pantai Bumi Hijau di Sungai Haji Dorani di sini memberi wajah baharu kepada kawasan rekreasi itu, seterusnya merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Pengunjung yang juga penduduk tempatan, Aini Saitul Azwin Mazdar, 36, mengakui banyak perubahan ketara berlaku di pantai berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Banyak perubahan berbanding dahulu. Sebelum ini pantai ini biasa (tiada banyak kemudahan) kebanyakan orang datang nak mencari remis sahaja tetapi sekarang ada banyak kemudahan.
"Sekarang ada surau, tandas, kedai makan berkonsep seni bina kayu klasik serta ada juga aktiviti seperti flying fox (luncur keluang), tapak perkhemahan, karavan dan pondok istirehat juga disediakan.
"Saya harap kemudahan ini dapat dikekalkan supaya sektor pelancongan di kawasan ini terus berkembang," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Aini Saitul menjelaskan Pantai Bumi Hijau kini semakin menjadi pilihan pengunjung dari dalam dan luar daerah terutama selepas penambahbaikan tersebut.
"Ramai orang datang ke sini, lebih-lebih lagi selepas pantai ini diberi wajah baharu. Ia secara tidak langsung membantu mempromosi Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan," katanya.
Pengunjung dari Klang, Siti Norazwana Malik, 31, yang berkelah kali kedua ke pantai tersebut mendapati pantai berkenaan sesuai sebagai lokasi riadah pada hujung minggu bersama keluarga.
"Ini kali kedua saya berkunjung ke pantai ini. Suasana di sini sangat sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga, pengunjung juga boleh mandi-manda dan menikmati pemandangan pantai yang menarik," katanya.

Pengunjung dari Teluk Intan, Perak, Muhammad Amirul Hakimie Azman, 30, pula tertarik dengan keunikan konsep pembangunan kawasan itu menjadi tarikan utama kepada pengunjung.
"Tempat ini cantik dan mempunyai suasana seperti perkampungan tradisional. Kedai-kedai di sini juga menggunakan konsep zaman dahulu yang memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.
"Selain kemudahan lengkap dan ada pondok untuk berehat, saya berharap akses jalan ke kawasan ini dapat ditambah baik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dari luar," katanya.










