SHAH ALAM, 26 JULAI: Selangor sedang membuat kajian menyeluruh berhubung penggunaan sumber air laut sebagai sumber alternatif jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan air pada masa depan.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah itu bagi memastikan bekalan air bersih terus berkekalan dan memenuhi permintaan di Lembah Klang yang meningkat saban tahun.
“Kita sedang melihat untuk melaksanakan air laut yang dinyahgaram untuk kegunaan sumber air baharu. Ia masih lagi dalam perancangan. Teknologi itu sekarang sebenarnya agak murah dan lebih ekonomi.
“Kita sedang kaji dari sudut kos komersial. Kita perlu pelbagaikan lagi sumber air supaya kita tidak bergantung kepada satu sumber sahaja iaitu air hujan,” katanya kepada Media Selangor.
Pada April, Ir Izham memaklumkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Kerajaan Negeri mengkaji kebolehlaksanaan loji penyahgaraman air laut bagi memastikan kemampanan sumber air bersih.
Beliau dilapor berkata pembinaan infrastruktur berkenaan mampu menambah kapasiti pengeluaran air bersih hingga kira-kira 300 juta liter sehari (JHL).

Sasar sistem pengurusan bersepadu
Penubuhan Suruhanjaya Air Selangor (SAS) yang menyepadu sistem pengurusan di negeri ini akan dibuat berpandu kepada dapatan dalam kajian Pelan Induk Air Selangor.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim menjelaskan suruhanjaya berkenaan akan menyatukan pengurusan aset, sumber air dan pembetungan bawah satu bumbung.
Beliau percaya sistem pengurusan air menjadi lebih bersepadu apabila agensi sedia ada seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Perbadanan Air Selangor (Air Selangor) diselaras.
“Kita juga melihat kemungkinan cadangan untuk tubuhkan SAS, yang akan meletakkan semua jabatan atau agensi berkaitan air di bawah satu bumbung.
“Tetapi kita akan tunggu kajian Pelan Induk Air Selangor ini siap untuk lihat syor daripada pihak konsultan (perunding),” katanya kepada Media Selangor.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri mempertimbang membentuk satu suruhanjaya yang mengurus semua urusan termasuk air terawat, mentah dan kumbahan selain membina lebuh raya air.
Penubuhan suruhanjaya berkenaan antara strategi bagi meningkatkan kawalan dan pengurusan aset air sekali gus mengurangkan bencana banjir di Lembah Klang.
Ir Izham memberitahu Selangor se-ring menjadi rujukan pentadbiran negeri lain khususnya berkaitan hal ehwal bagi menubuhkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di negeri masing-masing.
Malah, beliau menyatakan Air Selangor juga menerima penghargaan Kerajaan Persekutuan atas kejayaan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) setiap tahun.
“Ramai negeri rujuk kita dalam pengurusan air terutama dalam hal menubuhkan LUAS yang mengawal sumber air,” katanya.
Selangor antara negeri berprestasi terbaik dalam mengurangkan kadar NRW hasil pengurusan berkesan. Kadar itu berkurangan daripada 27 peratus pada tahun sebelumnya kepada 26.76 peratus tahun lalu.








